BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Sept – Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) melalui Jabatan Pentadbiran dengan kerjasama Persatuan Bola Jaring Brunei Darussalam, buat julung-julung kalinya telah menganjurkan kejohanan bola jaring bagi pegawai dan kakitangan perempuan yang berkhidmat di bawah kementerian berkenaan dan jabatan-jabatan di bawahnya.
Pada perlawanan akhir kejohanan yang diadakan di Dewan Serba guna, Bolkiah Garrison, Berakas itu, Bahagian IRK, Jabatan Pengajian Islam telah berjaya merangkul gelaran juara selepas menewaskan Sekolah Arab B, yang akur di tempat kedua dengan jaringan 21-18.
Sementara Brunei II A pula menduduki tangga ketiga selepas berjaya menewaskan Pusat Dakwah Islamiah dengan jaringan 10-12.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis dan seterusnya menyampaikan hadiah kepada pemenang ialah isteri kepada pemangku pengarah pentadbiran KHEU, Dayang Rahayu binti Haji Abdul Rahman.
Kejohanan yang diadakan selama dua hari ini disertai oleh sebanyak 14 buah pasukan iaitu Jabatan Pentadbiran, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, Pusat Dakwah Islamiah, Bahagian Dasar, Perancangan dan Penyelidikan, Bahagian IRK, Jabatan Pengajian Islam, Brunei II A, Brunei II B, KPU JPI Tutong, KPU Temburong, KPU Belait, Sekolah Arab A, Sekolah Arab B, Jabatan Hal Ehwal Syariah dan JPI Brunei 3.
Antara tujuan kejohanan tersebut adalah untuk menggalakkan warga kementerian tersebut untuk terus bergiat aktif dalam sukan demi untuk menjaga kesihatan tubuh badan dan kecergasan fizikal serta mental, di samping dapat menanam dan memupuk semangat kesukanan. Ia juga bertujuan bagi mengeratkan hubungan silaturahim, bersatu padu, setiakawan, harmoni dan sejahtera serta untuk menimbulkan perasaan ‘ukhwah’ dalam kalangan pegawai-pegawai dan kakitangan yang ikut serta dalam kejohanan ini.
