Oleh Daniel Lim
BELAIT, 30 DIS – Sebagai sebahagian daripada usaha untuk membantu menyediakan tempat mudah untuk penduduk terutamanya yang menetap di kawasan Kampung Lumut menjalankan kitar semula, Green Depot telah mengadakan Kempen Kitar Semula di kawasan Masjid Zainab, Lumut, hari ini.
Diketuai oleh Pegawai Projek Green Depot, Dayang Nihayatul Syahira binti Zulkipli dan melibatkan sukarelawan Green Depot, kempen berkenaan dijalankan untuk membantu memberi peluang kepada penduduk yang tidak dapat pergi ke Green Depot di Jalan Panglima, Kuala Belait untuk menghantar bahan-bahan kitar semula bagi membantu mengurangkan beban ke atas alam sekitar.
Selain itu, kempen juga membantu meningkatkan kesedaran mengenai kitar semula dan bagaimana ia dapat membantu mengurangkan sampah yang dihasilkan bukan sahaja dengan kitar semula malah menggunakan semula dan mengurangkan.
Di samping kempen berkenaan, Green Depot juga kerap menjalankan pelbagai kempen dan aktiviti di pusat berkenaan dan tempat lain. Green Depot merupakan projek di bawah Green Brunei dengan sokongan daripada Syarikat Minyak Brunei Shell Sdn Bhd (BSP) untuk menggalakkan tabiat mengitar semula sementara mengurangkan jumlah bahan pepejal di tapak pelupusan sampah, yang ditubuhkan pada Disember 2018.

