Saturday, May 3, 2025
29.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Galakkan wanita berkembang maju dalam dunia digital

    Oleh Sim Y.H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 2 MEI – Industri Teknologi Info-Komunikasi Negara Brunei Darussalam (AITI) dengan kerjasama Universiti Teknologi Brunei (UTB) dan Jabatan Sekolah-sekolah, Kementerian Pendidikan mengadakan bengkel bertajuk, The Art of Digital Content Creation-Building A Meaningful Content for Social Impact, bersempena dengan Hari Antarabangsa Perempuan dalam ICT 2025, yang berlangsung di Kolej Perdagangan Laksamana (LCB), kelmarin.

    Bengkel selama sehari dihadiri seramai 39 orang pelajar perempuan Tahun 9 dari sekolah-sekolah kerajaan yang diiringi oleh guru-guru mereka.

    Pengurus AITI, Dayang Nurfarizah binti Abdullah Esai dalam ucapan alu-aluannya, menekankan selaras dengan tema, Girls in ICT for Inclusive Digital Transformation, agar setiap orang tanpa mengira jantina, harus mempunyai peluang yang sama untuk menyumbang, memimpin dan berinovasi dalam ruang digital.

    Beliau mengetengahkan bagaimana penghasilan isi kandungan digital dapat memperkasakan para peserta untuk mengongsikan kisah, idea serta menyampaikan perspektif mereka dengan penuh bermakna melalui platform digital.

    Bengkel turut mengetengahkan sesi bermaklumat oleh fasilitator UTB, Dr Siti Noor Fatimah binti Haji Awang Safar yang menyampaikan ceramah bertajuk, Understanding How Digital Content Shapes Perception, diikuti dengan Dayang Noor Deenina binti Haji Mohd Salleh dengan ceramah bertajuk, Emotional Engineering: How Visuals Trigger Emotional dan Ethics in Digital Content Creation.

    Sesi berkenaan membantu para peserta untuk membangunkan kemahiran praktikal yang diperlukan untuk menghasilkan kandungan digital yang bermakna yang direka untuk memaklumkan, melibatkan dan memberikan inspirasi kepada orang lain.

    Semasa sesi praktikal, pelajar-pelajar memanfaatkan apa yang telah mereka pelajari untuk menghasilkan kandungan digital mereka sendiri, yang kemudiannya dipamerkan semasa segmen penutup bengkel berkenaan.

    Para fasilitator bengkel telah memberikan maklum balas dan berkongsi dapatan utama daripada penyertaan para peserta.

    Majlis diakhiri dengan penyampaian hadiah kepada tiga pencipta kandungan terbaik diikuti dengan penyampaian cenderahati penghargaan kepada fasilitator yang disampaikan oleh Timbalan Ketua Eksekutif AITI.

    Sesi bergambar ramai pada majlis tersebut. – GAMBAR SERAHAN AITI
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda