Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Galas tanggungjawab lahir generasi progresif

    Oleh Salawati Haji Yahya – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 12 OGOS – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah mengingatkan tentang kepentingan aspek kerohanian dalam giat mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

    Dengan tidak mengabaikan aspek kerohanian, titah Baginda, Universiti Brunei Darussalam (UBD) akan dikenali sebagai sebuah universiti yang dapat memupuk dan merangsang perkembangan pelajar meliputi semua aspek kehidupan, yang mana ianya mampu dilihat untuk meraih keberkatan, keselamatan dan kemakmuran, bukan hanya di dunia malah juga di akhirat.

    Baginda bertitah menegaskan perkara itu sempena Majlis Konvokesyen ke-36 UBD yang berlangsung di Dewan Canselor universiti berkenaan, hari ini, dan mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada graduan atas kejayaan menamatkan pengajian dalam bidang masing-masing.

    Titah Baginda lagi, “Di sinilah dapat kita melihat betapa tinggi kemampuan setiap fakulti di UBD dalam memastikan gandingan pendidikan dan penyelidikan yang dilaksanakan sehingga mampu mendatangkan impak signifikan yang diharapkan.”

    Dalam keadaan dunia ber-hadapan dengan cabaran dan risiko perubahan iklim, pencemaran alam sekitar, sekuriti makanan, pemesatan digital, sekuriti siber, polarisasi sosial dan kemiskinan, tegas Baginda, adalah mustahak untuk kita melakar masa depan yang lebih menjamin bagi generasi akan datang.

    Baginda Sultan berkenan mengurniakan titah sempena Majlis Konvokesyen ke-36 UBD kelmarin. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    Baginda Sultan turut menyentuh mengenai generasi di mana UBD sebagai universiti terulung di negara ini perlu bersedia menggalas tanggungjawab untuk melahirkan generasi yang progresif lagi kreatif melalui keluaran universiti setiap tahun.

    Selain itu, Baginda turut berharap, dengan UBD Sustainable Blueprint yang telah dirancang bagi mewujudkan ekosistem berdaya tahan, ianya akan dapat mewujudkan kampus bersifat lebih mesra alam dan kondusif dalam melahirkan generasi pemimpin yang sentiasa bersedia menangani tantangan zaman.

    Baginda gembira mengetahui di mana penganugerahan akreditasi berprestij tinggi iaitu Association to Advance Collegiate Schools of Business (AACSB) diberikan kepada Sekolah Perniagaan dan Ekonomi UBD (UBD-SBE).

    Titah Baginda, “Akreditasi ini menjadikan UBD-SBE kini menyertai lebih kurang 6 peratus kumpulan elit sekolah perniagaan di dunia yang mematuhi piawaian kecemerlangan yang ditetapkan dalam pendidikan perniagaan.”

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia dalam titah turut menyentuh inovasi dan kerjasama industri, di mana Baginda ingin melihat kerjasama industri dan universiti di negara ini dikukuhkan untuk membolehkan pemindahan pengetahuan, teknologi dan kepakaran antara ahli akademik dan pengamal industri.

    Pembinaan Hab Inovasi UBD, UBD Digital Science Nexus dan bangunan baharu Institut Biodiversiti dan Penyelidikan Alam Sekitar UBD yang telah Baginda perkenankan di bawah Projek RKN ke-12, diharap menjadi pemangkin bagi memperkasa lagi penyelidikan dan pendidikan.

    “Ini tentu sahaja akan menghasilkan pembangunan produk, pelaburan, economic cluster baharu dan ekosistem inovasi yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan penjanaan peluang pekerjaan,” tegas Baginda Sultan.

    Baginda turut yakin graduan dengan penuh semangat akan menyahut cabaran dalam memenuhi keperluan pekerjaan pada masa akan datang.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda