Sunday, December 22, 2024
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Galaxy Note 8 gabungan telefon pintar, tablet

    NEW YORK, 24 Ogos – Samsung melancarkan model terbaharunya, Galaxy Note semalam sekali gus memberikan persepsi baharu kepada keluaran pengeluar peranti pintar itu yang sebelum ini berdepan masalah bateri yang meletup.

    Pelancaran itu juga bakal menjadi cabaran baharu kepada pesaingnya, Apple yang bakal memperkenalkan iPhone 8 tidak lama lagi.

    Samsung yakin Galaxy Note 8 berupaya mengembalikan semula kepercayaan pengguna, lapor agensi berita Korea Selatan Yonhap.

    “Model Galaxy S8 dan S8 Plus yang dikeluarkan pada pertengahan tahun ini disukai pengguna. Jenama Galaxy berjaya mengatasi cabaran sejak tahun lepas dan mampu pulih dengan cepat,” kata presiden Samsung Electronics Koh Dong-jin kepada wartawan di New York.

    Pada majlis memperkenalkan Note 8, iaitu telefon bersaiz tablet ‘phablet’ di New York City, baru-baru ini semua pegawai eksekutif melahirkan penghargaan kepada peminat setia peranti berkenaan.

    Model terbaru Samsung Galaxy Note 8 dipamerkan di New York. – AP

    “Tidak ada seorang pun yang akan melupakan apa yang berlaku pada tahun lalu,” kata Koh.

    “Saya tidak akan melupakan berjuta-juta pengikut setia yang sentiasa bersama kami, saya ucapkan ribuan terima kasih,” katanya.

    Gergasi Korea Selatan menyasarkan untuk menjadi pembuat telefon pintar pertama ‘phablet’ – menggabungkan ciri-ciri telefon pintar dan tablet – ketika memperkenalkan Note pertama lima tahun lalu.

    Bagaimanapun, setakat ini, Samsung belum mendedahkan harga Note 8, dan ia boleh didapati di semua cawangan jualan pada 15 September ini. Namun, tempahan awal dibuka bermula hari ini.

    Di kebanyakan laman web rantaian runcit di Amerika Syarikat (AS) menawarkan Note 8 pada AS$930 (RM3,976) tanpa subsidi syarikat komunikasi dan Apple juga dijangka akan menawarkan harga lebih kurang sama. – AFP/Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda