Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 22 SEPT – Sektor penerbangan Brunei mencatatkan sebuah mercu tanda bermakna apabila sebuah syarikat penerbangan pemula Brunei, GallopAir dan pemimpin global dalam bidang penerbangan, Commercial Aircraft Corporation of China (COMAC) telah memeterai perjanjian surat hasrat (LOI) semasa Ekspo China-ASEAN (CAEXPO) ke-20 di Republik Rakyat China pada 15 September lalu.
Penandatanganan perjanjian LOI telah disaksikan oleh pemimpin-pemimpin dan perwakilan-perwakilan termasuk pegawai-pegawai kerajaan dan perniagaan dari kedua-dua buah negara dengan Negara Brunei Darussalam diwakili oleh Duta Besar Istimewa dan Mutlak Negara Brunei Darussalam ke Republik Rakyat China, Tuan Yang Terutama Pehin Orang Kaya Seri Pahlawan Kolonel (B) Dato Paduka Haji Abdu’r Rahmani bin Dato Paduka Haji Basir; Setiausaha Tetap (Infrastruktur, Perumahan dan Profesional) di Kementerian Pembangunan, Ir Haji Amer Hishamuddin bin Pehin Orang Kaya Amar Pahlawan Dato Seri Setia Haji Zakaria; Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (BEDB) dan Darussalam Enterprise (DARe), Daniel Leong serta Pengerusi dan Pemilik GallopAir, Yang Qiang.
Sementara itu, Republik Rakyat China diwakili oleh Setiausaha Jawatankuasa Parti Wilayah Autonomi Guangxi Zhuang, Liu Ning; Setiausaha Parti dan Pengerusi COMAC, He Dong Feng; Ahli Tetap Jawatankuasa Parti Wilayah Autonomi Guangxi Zhuang, Zhou Yi Du; Timbalan Pengurus Besar China Commercial Aircraft Company Ltd, Shen Bo dan Kaunselor Komersial Pejabat Komersial Kedutaan China di Negara Brunei Darussalam, Shi Rong Ke.
Pada penandatanganan perjanjian berkenaan, mewakili GallopAir ialah Ketua Pegawai Eksekutif, Cham Chi dan Timbalan Pengarah COMAC, Jawatankuasa Pemasaran dan Jualan, Yang Yang.
Penandatanganan perjanjian berkenaan menandakan visi bersama untuk merevolusikan perjalanan udara, memupuk pembangunan ekonomi dan meningkatkan kesalinghubu-ngan serantau.
Butiran LOI termasuk hasrat GallopAir untuk membeli sejumlah 30 pesawat, terdiri daripada 15 pesawat ARJ21, tiga daripadanya adalah kapal kargo, sebuah jet perniagaan ARJ21, sebuah pesawat perubatan ARJ21, dan 15 pesawat C919 bernilai AS$2 bilion.
Operasi penerbangan dijangkakan akan bermula pada suku ketiga 2024 dengan pesawat daripada COMAC perlu melalui proses Type Certification dan usaha wajar oleh Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Negara Brunei Darussalam.
