KUALA LUMPUR, 4 MEI – Gamai Sdn Bhd, syarikat pengeluar latok segera iaitu juadah rumpai laut yang turut dikenali sebagai anggur laut menyasarkan untuk mengeksport produk itu ke Filipina dan Singapura tahun depan setelah mendapat perhatian peminat makanan tradisional di dalam dan luar negara.
Pengasas Gamai Sdn Bhd, Fatimah Salleh berkata produk latok segera yang dihasilkannya merupakan inovasi baharu yang menyaksikan kesegaran rumpai laut itu mampu bertahan lebih lama sehingga enam bulan.
Beliau yang juga pemilik Restoran Ikan Bakar Semporna di Kepong, dekat sini mendapat idea menghasilkan latok segera setelah pelanggan sering mengadu juadah popular di restorannya itu sukar untuk dibawa pulang kerana mudah layu.
“Latok segar selalunya mampu bertahan selama dua hari jika berada di dalam suhu bilik, pendedahan kepada suhu yang tidak sesuai akan menyebabkan latok menjadi layu.
“Ramai pelanggan saya dari luar Kuala Lumpur memaklumkan sukar untuk mereka bawa latok segar ke negeri masing-masing kerana mudah layu dan menyebabkan keaslian rasanya hilang,” katanya kepada Bernama.
Sehubungan itu, timbul idea untuk menghasilkan produk latok segera yang mampu bertahan lebih lama sehingga enam bulan bagi memudahkan pelanggan yang berada di luar kawasan Kuala Lumpur mendapatkannya, kata beliau. – Bernama
