Wednesday, December 25, 2024
24.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Gandingan bapa, anak lakar sejarah

    LOS ANGELES, 23 OKT – LeBron James dan anaknya, Bronny James, mencipta sejarah apabila menjadi gandingan bapa dan anak pertama yang bermain bersama dalam perlawanan musim NBA, di mana perlawanan tersebut menyaksikan Los Angeles Lakers menewaskan Minnesota Timberwolves 110-103.

    Gandingan bapa-anak ini, yang pernah bermain bersama secara seketika dalam perlawanan pra-musim bulan ini, memasuki gelanggang pada penghujung suku kedua di Crypto.com Arena dengan Lakers mendahului 51-35.

    Sorakan gemuruh daripada penyokong di arena menyambut kehadiran duo James ketika mereka menghampiri meja penjaring untuk menyemak permainan selepas Lakers mendahului dua angka.

    Ketika LeBron James dan anaknya, Bronny, bersiap sedia untuk memasuki gelanggang, LeBron Sr kedengaran berkata kepada Bronny: “Kamu sudah bersedia? Kamu nampak semangatnya, kan? Tetapi bermainlah dengan tenang.”

    Penampilan kedua-duanya disaksikan Ken Griffey Sr dan Ken Griffey Jr yang mencipta sejarah dalam sukan bola lisut selepas kedua-dua beranak itu bermain untuk Seattle Mariners antara 1990-1991.

    Aksi LeBron menggelecek bola semasa perlawanan NBA yang berlangsung di Los Angeles, baru-baru ini. – AP

    LeBron berkongsi perasaannya selepas perlawanan, “Momen kami memasuki gelanggang bersama adalah sesuatu yang tidak akan saya lupakan, tidak kira berapa tua saya nanti. Saya tidak akan melupakan momen itu.”

    LeBron, yang bakal mencecah usia 40 tahun pada Disember, menyatakan bahawa hari tersebut sangat bermakna baginya, kerana ia juga merupakan hari ulang tahun ke-10 anak perempuannya, Zhuri Nova.

    Penampilan sulung Bronny James bersama Los Angeles Lakers berlangsung dengan sederhana. Pemain berusia 20 tahun itu hanya beraksi selama 2 minit 41 saat di atas gelanggang, melakukan dua percubaan yang tidak berjaya sebelum digantikan.

    Dia melahirkan rasa terima kasih atas sokongan penuh semangat daripada para peminat Lakers.

    “Saya cuba untuk tidak memberi fokus kepada segala yang berlaku di sekeliling saya. Saya berusaha untuk tidak melakukan kesilapan. Namun, saya benar-benar merasai tenaga yang diberikan,” kata Bronny.

    Pegawai Lakers sebelum perlawanan pembukaan musim semalam tidak mengumumkan mengenai masa dan lokasi di mana LeBron dan Bronny akan beraksi bersama buat kali pertama dalam perlawanan musim biasa.

    Bagaimanapun, LeBron, bintang NBA yang bakal mencecah usia 40 tahun pada Disember, mengakui dalam kenyataannya sebelum perlawanan bahawa dia hampir tidak dapat menahan kegembiraannya untuk merealisasikan impian lamanya, iaitu beraksi bersama anaknya. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda