MADRID, 26 SEPT – Gandingan Diego Costa dan Joao Felix akhirnya menjadi apabila kedua-duanya berjaya meledakkan gol dalam kemenangan 2-0 Atletico Madrid ke atas Real Mallorca awal pagi tadi.
Costa menanduk masuk gol pembukaan pada minit ke-26 di Stadium Iberoster dan Felix menggandakan jaringan selepas rehat untuk membantu Atletico meraih kemenangan, manakala Alvaro Morata dibuang padang hanya selepas lapan minit dimasukkan sebagai pemain gantian.
Hukuman Morata itu menyebabkannya terlepas aksi tetangga menentang Real Madrid hujung minggu ini di Wanda Metropolitano, yang menjadi persaingan antara pasukan kedudukan pertama dan kedua dalam La Liga.
Atletico kini berada di kedudukan kedua dengan 13 mata selepas Real berjaya memintas mereka dengan menewaskan Osasuna 2-0 awal pagi tadi.
Athletic Bilbao kini satu mata lagi di belakang di tempat ketiga selepas seri 1-1 di Laganes.
Skuad Atletico kendalian Diego Simeone kelihatannya merawat sedikit isu mereka selepas dua seri dan satu tewas dari tiga perlawanan, meskipun salah satu seri itu adalah kebangkitan menarik menentang Juventus dalam aksi Liga Juara-Juara.
Gol menerusi Costa dan Felix sangat dialu-alukan menentang Mallorca yang kini berada di kedudukan ke-17.
Memandangkan kad merah Morata, Costa dan Felix kemungkinan besar akan bergandingan sekali lagi bagi kunjungan Real Madrid hujung minggu ini. – AFP
