BELAIT, 23 MEI – Paip air berukuran 100mm diameter berdekatan Simpang 638-22, Kampung Lumut Tersusun, Daerah Belait mengalami kebocoran dan kerja-kerja pembaikan sedang dilaksanakan.
Sehubungan itu, simpang tersebut dan beberapa kawasan sekitarnya akan mengalami tekanan air rendah atau tiada bekalan terutamanya di kawasan tinggi, menurut Jabatan Kerja Raya (JKR), Kementerian Pembangunan dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.
JKR bagaimanapun memberi jaminan kepada penduduk di kawasan terbabit bahawa tindakan telah pun diambil untuk menangani masalah bekalan air dan sedang berusaha mempercepatkan pembekalan air seperti biasa.
Jabatan itu juga menggesa orang ramai berjimat cermat dalam penggunaan air dan menghubungi Talian Darussalam 123 bagi pembekalan air bersih melalui tanker atau sebarang aduan berhubung pembekalan air bersih.
Sebarang kesulitan adalah dikesali dan pihak JKR ingin berterima kasih atas kefahaman dan kesabaran orang ramai.