Gangguan akibat DNS, kabel SJC

BANDAR SERI BEGAWAN, 31 MEI – Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-Komunikasi Brunei Darussalam (AITI) memaklumkan bahawa gangguan ke atas perkhidmatan jalur lebar mudah alih yang berlaku kelmarin (30 Mei) dan diumumkan di platform media sosial oleh Unified National Networks (UNN) adalah akibat isu teknikal ke atas Domain Name System (DNS) UNN.

Menurut kenyataan dikeluarkan AITI di sini, insiden ini menjejaskan semua perkhidmatan jalur lebar telefon mudah alih namun masalah itu dapat diatasi pada hari yang sama dengan trafik internet kembali normal dan semua perkhidmatan dipulihkan. Siasatan UNN ke dalam gangguan rangkaian ini menunjukkan kehilangan isyarat di sebuah tapak UNN yang menyebabkan gangguan dan mengakibatkan isu penyaluran ke atas trafik berkaitan dengan rangkaian mudah alih DNS.

Hari ini, satu lagi gangguan bawah laut baharu ke atas Sistem Kabel Selatan-Timur Asia Jepun (SJC) dilaporkan oleh UNN kepada konsortium kabel SJC, menjejaskan kesalinghubungan internet antarabangsa. Ini akan membawa impak ke atas kelajuan penyambungan bagi kedua-dua pengguna jalur lebar talian tetap dan mudah alih.

Menurut kenyataan itu lagi, meskipun perkhidmatan internet biasa seperti melayari laman web dan penstriman video masih boleh diakses, penggunaan pada masa puncak dan perkhidmatan yang bergantung ke atas pendaman rendah seperti online gaming mungkin masih mengalami beberapa gangguan.

UNN bekerjasama rapat dengan rakan-rakan kabel submarinnya untuk memulihkan rangkaian antarabangsa dan pada masa ini berusaha menguruskan prestasi rangkaian ketika kerja-kerja penyelenggaraan oleh rakan-rakan konsortium dijalankan.

AITI juga akan terus memantau perkembangan situasi semasa ini.