Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 DIS – Kejadian gangguan perkhidmatan telekomunikasi yang berlaku baru-baru ini, di Kampung Rimba, Kampong Ayer dan kawasan Jambatan Edinburgh yang telah menjejaskan perkhidmatan untuk kira-kira 2,100 pengguna rangkaian mudah alih dan tetap, adalah disebabkan kerosakan kabel gentian dan pemotongan kabel yang dicuri.
Pihak Berkuasa Industri Info-Komunikasi Negara Brunei Darussalam (AITI) mengongsi dapatan itu, dalam kenyataan yang dikeluarkan, di sini, hari ini.
Kenyataan menyatakan lagi bahawa setakat ini, dianggarkan sebanyak 85 kes kecurian kabel telah direkodkan dari Januari hingga Disember 2021 yang menyebabkan gangguan kepada perkhidmatan telekomunikasi.
Kabel yang dicuri berkenaan tidak bernilai tetapi kerosakan boleh menjejaskan keperluan masyarakat yang bergantung pada rangkaian Internet yang stabil, termasuklah institut-institut pendidikan, syarikat-syarikat yang melaksanakan bekerja dari rumah (WFH) serta peniaga-peniaga yang menggunakan platform dalam talian untuk menjalankan perniagaan mereka.
Kenyataan menjelaskan bahawa pihak Unified National Networks Sdn Bhd (UNN) telah banyak menyumbangkan usaha dan perbelanjaan untuk memastikan gangguan perkhidmatan telekomunikasi di tahap minimum, namun kerosakan yang berulang boleh memberi tekanan pada sumber mereka.
Dalam hubungan itu, AITI mengingatkan orang ramai mengenai undang-undang yang ditetapkan untuk melindungi infrastruktur telekomunikasi di negara ini.
Di bawah Bab 49(1) Perintah Telekomunikasi, 2001, mana-mana orang dengan sengaja memindahkan, membinasakan atau merosakkan sebarang pepasangan atau loji yang digunakan untuk telekomunikasi adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila sabit kesalahan boleh dikenakan denda yang tidak melebihi $50,000, dihukum penjara bagi tempoh yang tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Di bawah Bab 49(2), mana-mana orang yang semasa menjalankan sebarang kerja tanah, merosakkan atau membiarkan sebarang kabel suatu sistem telekomunikasi dirosakkan yang dipunyai oleh atau di bawah pengurusan atau kawalan pemegang lesen sistem telekomunikasi adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila sabit kesalahan boleh dikenakan suatu denda yang tidak melebihi $1 juta, dihukum penjara bagi tempoh
yang tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Selain itu, Bab 50 Perintah Telekomunikasi, 2001 menyatakan mana-mana orang yang memindahkan, membinasakan atau merosakkan, sama ada dengan sengaja, cuai, secara kebetulan ataupun selainnya, pepasangan atau loji yang digunakan untuk telekomunikasi hendaklah bertanggungan untuk membayar pampasan kerana kerosakan yang telah dilakukan olehnya.
Beberapa pindaan di bawah Perintah Kanun Hukuman Jenayah (Pindaan), 2021 telah dibuat baru-baru ini, untuk terus melindungi infrastruktur tersebut daripada kecurian, kerosakan dan aktiviti lain yang menyebabkan gangguan pada perkhidmatan utama. Kedua-dua kesalahan berkenaan, di bawah Bab 380B dan Bab 427B Perintah Kanun Hukuman Jenayah (Pindaan), 2021 membawa hukuman minimum tiga tahun penjara dan empat kali sebatan serta hukuman maksimum 10 tahun penjara dan 12 kali sebatan.
Sementara itu, pindaan-pindaan di bawah Bab 411 dan Bab 414 juga telah dibuat untuk menjenayahkan penerimaan atau penyimpanan harta benda curi yang berkaitan dengan perkhidmatan utama atau bahagian komponen perkhidmatan utama serta menolong menyembunyikan, melupuskan atau menghapuskan apa-apa harta curi yang berkaitan dengan perkhidmatan utama atau bahagian komponen perkhidmatan utama.
Kedua-dua kesalahan itu membawa hukuman maksimum 10 tahun penjara, denda atau kedua-duanya sekali.
Sehubungan itu, AITI meminta kerjasama orang ramai yang mendapati sebarang aktiviti mencurigakan seumpamanya supaya menghubungi dan membuat laporan polis di talian
993.