KOTA KINABALU, 7 MAC – Gangguan bekalan air dijangka berlaku di beberapa kawasan di Kota Kinabalu dan Penampang selama 10 hari bermula hari ini berikutan pengurangan sementara pengeluaran air terawat di Loji Rawatan Air Moyog di sini.
Jabatan Bekalan Air Negeri Sabah (JANS) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan pengurangan pengeluaran air terawat daripada 189 juta liter sehari kepada 187 juta liter sehari itu berikutan kerja penggantian Filter Media No 3 di loji berkenaan.
“Kawasan yang terjejas akan mengalami gangguan bekalan air dan pemulihan adalah secara berperingkat.
“Pelanggan di kawasan yang terjejas disarankan untuk menyimpan air yang mencukupi dan menggunakan air secara berhemat,” katanya.
Kawasan yang dijangka terjejas di Kota Kinabalu antaranya Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, Kota Kinabalu City Centre, Kepayan, Tanjung Aru, Sembulan, Karamunsing, Signal Hill, Likas, Tanjung Lipat, Inanam, Kolombong, Luyang, Putatan dan Bukit Padang.
Manakala kawasan dijangka terjejas di Penampang adalah Pekan Penampang, Pusat Kebudayaan Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA), Donggongon, Jalan Penampang Baru dan Jalan Penampang-Papar Lama. – Bernama