SAN JUAN, 17 APRIL – Awal hari ini, para pekerja telah mula bekerja bagi memulihkan bekalan elektrik di Puerto Rico selepas gangguan kuasa besar yang melanda seluruh pulau kawasan tersebut.
Gangguan ini telah memberi kesan kepada lapangan terbang antarabangsa utama, beberapa hospital dan juga hotel-hotel yang penuh dengan pelancong Paskah.
Penutupan yang bermula selepas tengah hari kelmarin, menyebabkan 1.4 juta pelanggan tanpa elektrik dan 328,000 tanpa air.
Namun, seramai 175,000 pelanggan, atau 12 peratus, telah mendapatkan kembali bekalan kuasa pada penghujung hari, dalam tempoh 48 hingga 72 jam selepas pentupan tersebut.
“Hari ini sungguh malang bagi rakyat Puerto Rico, kita menghadapi masalah sebesar ini,” kata Gabenor Jenniffer González, yang memendekkan percutiannya selama seminggu dan kembali ke Puerto Rico pada malam kelmarin.

Penutupan tersebut menyebabkan kesesakan lalu lintas, memaksa ratusan perniagaan untuk ditutup dan bagi mereka yang tidak mampu membeli penjana elektrik terpaksa mencari ais dan lilin.
Ini adalah penutupan elektrik kali kedua di seluruh pulau Puerto Rico dalam tempoh kurang daripada empat bulan, dengan penutupan sebelumnya berlaku pada malam tahun baru.
Tambah Gabenor Jenniffer González lagi, gangguan besar seperti yang berlaku kelmarin telah menyebabkan kerugian hasil sebanyak AS$230 juta setiap hari.
Ramón C. Barquín III, presiden Pusat Peruncitan Bersatu, sebuah organisasi yang mewakili perniagaan kecil dan sederhana, memberi amaran terhadap gangguan yang berterusan akan menakutkan pelabur berpotensi ketika Puerto Rico amat memerlukan pembangunan ekonomi.
Sementara itu, Datuk Bandar Vega Alta juga turut membuka pusat kesihatan kepada mereka yang memerlukan peralatan perubatan bagi menyelamatkan nyawa.
Punca penutupan itu tidak dapat dikenal pasti dengan segera, tetapi kejadian ini merupakan kali pertama dalam siri penutupan terbesar yang berlaku di pulau itu, dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Daniel Hernández, naib presiden operasi di Genera PR, berkata kelmarin, gangguan berlaku pada sistem penghantaran sejurus selepas tengah hari, masa di mana jaringan elektrk berada dalam keadaan terdedah kerana kekurangan mesin yang mengawal frekuensi pada ketika itu. – AP