Oleh Najibah –
Malam itu, suasana di berek askar wanita sunyi sepi. Hanya bunyi kipas siling yang berputar perlahan menemani empat sekawan yang sedang berbual santai di ruang tamu, sementara rakan-rakan yang lain balik ke rumah keluarga masing-masing.
Mereka berbicara tentang pelbagai perkara – kisah latihan harian, pengalaman di kem dan sedikit gosip ringan untuk mengisi waktu.
Dalam asyik mereka bercerita dan gelak ketawa, Kam tiba-tiba merasakan sesuatu yang tidak enak. Bulu romanya meremang dan dadanya terasa sedikit berat.
Dia cuba mengabaikannya, tetapi perasaan itu semakin kuat. Kam bukan orang biasa, boleh dikatakan dia memiliki deria keenam yang sering membuatnya sedar akan kehadiran sesuatu yang tidak kelihatan, bak kata orang kitani, terbuka hijab.
Maria, yang duduk bertentangan dengannya, turut merasakan keanehan yang sama. Dia juga dianugerahkan deria keenam, dan nalurinya mengatakan ada sesuatu yang tidak kena. Dengan ekor matanya, dia menangkap bayangan hitam di belakang Kam.

Maria turut gundah gulana namun dia tidak mahu menakutkan rakan-rakannya yang lain, lebih-lebih lagi kerana jam sudah menunjukkan pukul 3 pagi – waktu yang sering dikaitkan dengan gangguan makhluk halus.
Tanpa berkata apa-apa, Maria memberi isyarat halus kepada Kam, menunjukkan bahawa ‘ada sesuatu bertenggek di belakangnya’.
Kam menelan liur. Dia tidak berani menoleh, tetapi dia dapat merasakan kehadiran yang dimaksudkan Maria. Udara di sekelilingnya terasa lebih dingin daripada biasa.
Maria segera mengambil keputusan. “Dah lewat ni, jom masuk tidur. Esok kita ada latihan pagi,” katanya, cuba berlagak tenang.
Yang lain mengangguk tanpa banyak soal. Mereka segera bersurai, menuju ke bilik masing-masing. Kam berjalan perlahan, cuba menahan rasa seram yang merayap di tubuhnya.
Saat dia melewati cermin di hujung koridor, dia terasa ingin melihat pantulan dirinya, tetapi dia tahu, ada sesuatu yang mungkin turut kelihatan di belakangnya.
Dengan hati yang berdebar, dia melangkah laju masuk ke bilik dan menutup pintu rapat sambil membaca surah-surah pendinding dan terus ‘batangkumus’.
Keesokannya, semasa hendak mandi, Kam ternampak badan belakangnya ada kesan merah seperti cakaran yang panjang.
Dia segera menyarungkan tuala dan keluar dari bilik air, mencari Maria. Maria masih duduk di atas katil, wajahnya sedikit pucat seakan tidak cukup tidur.
Seolah-olah sudah tahu, Maria hanya memandang Kam sebelum berkata dengan suara perlahan, “Aku nampak semalam… benda atu bertenggek di belakangmu.”
Kam menelan liur sambil berkata, “Dan sekarang… aku ada kesan cakaran,” katanya sambil menunjukkan belakang badannya kepada Maria.
Kedua-duanya memang sudah mengetahui hal itu akan terjadi kerana sebelum ini pun, mereka juga diganggu lembaga hitam tapi tidak sampai ke tahap diganggu seumpamanya.
Mereka berdua juga tidak menceritakan kepada rakan-rakan lain kerana khuatir mereka hilang semangat.
Tanpa membuang masa, mereka bersiap untuk menemui orang tua yang pandai mengubati.