HAVANA, 8 SEPT –Gangguan bekalan elektrik melanda satu pertiga wilayah Cuba kelmarin, sekali gus memburukkan lagi keadaan di pulau itu yang sering menghadapi krisis tenaga berterusan, sehingga hanya beberapa kawasan bandar menerima bekalan elektrik selama tiga jam sehari.
Cuba kini mengalami krisis tenaga yang serius akibat infrastruktur yang semakin membimbangkan, termasuk lapan loji termoelektrik lama serta penjana yang memerlukan bahan api yang semakin berkurangan di negara itu, selain grid tenaga yang turut merosot.
Pemasangan 28 taman solar dengan sokongan China daripada 52 yang dirancang tahun ini gagal mengurangkan gangguan.
Pada musim panas ini, jadual pemadaman turut diperluaskan di Havana, sehingga mencapai 10 jam sehari di beberapa kawasan.
Syarikat penyedia utiliti, Kesatuan Elektrik Cuba berkata, talian kuasa 220 kV terputus di timur Cuba, “menyebabkan sistem terhenti” di lima daripada 15 wilayah Las Tunas, Granma, Holguin, Santiago de Cuba dan Guantanamo.
“Punca kejadian sedang disiasat dan kerja-kerja pemulihan sedang dijalankan,” kata syarikat itu di X.
Di Santiago de Cuba, bandar kedua terbesar dengan lebih sejuta penduduk, Javier Garcia, 60 tahun, berkata keluarganya pada mulanya tidak menyedari gangguan itu.
“Kami sudah pun dalam pemadaman, jadi kami hanya tahu tentang gangguan itu melalui rangkaian,” katanya kepada AFP melalui telefon. “Mari kita lihat bila mereka akan hidupkan semula.”
Bekalan elektrik amat tidak mencukupi minggu lalu.
Hari ini, jumlah elektrik tersedia hanya 1,930 MW berbanding permintaan sebanyak 3,750 MW, mewujudkan defisit 1,960 MW pada waktu puncak sebelah malam.
Sejak Oktober 2024, Cuba telah berdepan empat gangguan besar elektrik, dengan sebahagiannya berlarutan selama beberapa hari. – AFP


