MADRID, 29 APRIL – Sepanyol dan Portugal hari ini telah menolak kemungkinan serangan siber sebagai punca gangguan elektrik besar-besaran yang menyebabkan kekacauan kepada jutaan penduduk di Semenanjung Iberia pada hari sebelumnya.
Perkhidmatan telefon, internet dan lampu telah kembali pulih, perkhidmatan kereta api disambung semula, kedai-kedai dibuka semula dan para pekerja kembali ke pejabat selepas gangguan elektrik kelmarin yang berlarutan sehingga 20 jam di sesetengah kawasan.
Tiada punca yang jelas dikenal pasti setakat ini, meskipun khabar angin mengenai serangan siber dan fenomena ‘atmosfera luar biasa’ tersebar di media sosial.
“Berdasarkan analisis yang telah kami jalankan setakat ini, kami boleh menolak kemungkinan insiden keselamatan siber di kemudahan milik pengendali grid Sepanyol, Red Electrica (REE),” kata pengarah operasi, Eduardo Prieto.
Jurucakap kerajaan Portugal, Antonio Leitao Amaro berkata pihaknya ‘tiada maklumat yang mengaitkan gangguan ini dengan serangan siber atau serangan bermusuhan setakat ini’ berdasarkan analisis awal.
Pengendali grid Portugal, REN, hari ini turut menafikan ia telah mengeluarkan mesej yang tersebar di media sosial yang dikaitkan dengan gangguan itu dan fenomena atmosfera luar biasa. – AFP
