Monday, February 24, 2025
21.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Gangguan elektrik kurang 89.2 peratus di Sabah

    KUALA LUMPUR, 7 Nov – Pelbagai inisiatif telah dilaksana bagi mengurangkan gangguan bekalan elektrik di Sabah yang menyaksikan Purata Tempoh Gangguan Bekalan Elektrik (SAIDI) di negeri itu menurun sebanyak 89.2 peratus tahun lalu berbanding pada 2009.

    Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Maximus Johnity Ongkili berkata antara inisiatif jangka pendek termasuk menubuhkan pasukan petugas untuk mengurangkan kadar SAIDI di Kota Kinabalu, Tawau, Sandakan dan Wilayah Persekutuan Labuan dan melaksanakan Makmal SAIDI 100 Sabah.

    “Makmal ini bertujuan untuk mengkaji dan mengenal pasti isu-isu berkaitan bekalan elektrik di Sabah bagi mencapai sasaran kerajaan untuk menurunkan tahap SAIDI kepada 100 minit/pelanggan/tahun menjelang 2020,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

    Beliau menjawab soalan Datuk Raime Unggi (BN–Tenom) mengenai tindakan jangka pendek dan jangka panjang yang diambil kerajaan untuk memperkukuh bekalan elektrik di negeri Sabah dan mengurangkan gangguan bekalan.

    Ongkili berkata antara tindakan jangka panjang pula termasuk menubuhkan Pasukan Projek Khas Bekalan Elektrik Sabah yang melaksanakan projek-projek pembekalan elektrik di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.

    Katanya, sejumlah RM2.22 bilion dalam bentuk geran telah diluluskan bagi melaksana 57 projek melibatkan komponen penjanaan, penghantaran, pembahagian, putus bekalan dan juga kajian hidro elektrik dari 2015 hingga 2020. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda