Saturday, May 10, 2025
24.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Gangguan elektrik, perkhidmatan komunikasi di tiga buah kampung dan kawasan sekitarnya

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 31 OKT – Jabatan Perkhidmatan Elektrik (JPE), Kementerian Tenaga merujuk kepada insiden kecurian kabel yang berlaku pada awal pagi tadi, yang bukan sahaja mengakibatkan gangguan bekalan elektrik meluas bagi penduduk Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampung Rimba, Kampung Katok dan Kampung Mata-mata serta kawasan sekelilingnya, malahan memberi kesan kepada kemudahan dan perkhidmatan kritikal termasuk perkhidmatan komunikasi UNN dan aplikasi BruHealth.

    Menurut kenyataan dikeluarkan JPE di sini hari ini, aduan gangguan bekalan telah diterima melalui Talian Darussalam 123 pada sekitar kira-kira pukul 4:23 pagi tadi, di mana JPE segera menggerakkan kakitangannya ke JPE Main Intake Station (MIS) Rimba 232 yang terjejas bagi pemeriksaan lanjut dan penyiasatan.

    Siasatan mendapati gangguan disebabkan cubaan mencuri kabel elektrik dan komponen elektrik lain dalam JPE MIS berkenan dan penemuan seorang lelaki yang tidak sedarkan diri, disyaki terkena renjatan elektrik di tempat kejadian. Kenyataan menjelaskan individu itu dibawa ke Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha dan kejadian cubaan mencuri kabel telah dilaporkan serta diserahkan kepada Pasukan Polis Diraja Brunei bagi siasatan lanjut.

    Selaras dengan prosedur operasi standard, kakitangan JPE telah melaksanakan tugas untuk memulihkan bekalan elektrik ke kawasan-kawasan yang terjejas secara berperingkat-peringkat dan pada pukul 6:07 pagi hari yang sama, bekalan elektrik telah dipulihkan di kebanyakan kawasan terjejas kecuali kawasan yang dibekalkan melalui JPE MIS Rimba 232 yang terjejas. Pada pukul 11:33 pagi, JPE telah berupaya untuk memulihkan bekalan kepada semua kawasan yang terjejas termasuk JPE MIS Rimba 232 dan kawasan Taman Agro Teknologi.

    Dalam hubungan itu, JPE ingin memohon maaf kepada mereka yang terjejas atas kelambatan dalam memulihkan semula bekalan elektrik. Menurut JPE, cubaan mencuri yang tidak boleh dimaafkan itu, telah menyebabkan kerosakan yang signifikan kepada aset kerajaan yang menyebabkan perbelanjaan yang tinggi diperlukan untuk melaksanakan kerja-kerja membaik pulih bekalan elektrik.

    JPE juga menekankan mencuri atau aktiviti haram yang menyebabkan kerosakan kepada kabel elektrik adalah kesalahan di bawah Seksyen 380B dan Seksyen 427B Kanun Hukuman Jenayah Bab 22, seperti yang diperkenalkan oleh Perintah (Pindaan) Kanun Hukuman Jenayah 2021 di mana peruntukan elektrik kepada orang ramai merupakan satu perkhidmatan utama.

    Kesalahan membawa hukuman minimum tiga tahun penjara dan empat kali sebatan dan hukuman maksimum 10 tahun penjara dan 12 kali sebatan.

    Selain itu, di bawah Seksyen 411 Kanun Hukuman Jenayah, bagi kesalahan secara tidak jujur menerima barang curi dan di bawah Seksyen 414, kesalahan bersubahat menyembunyikan harta curi, yang berkaitan dengan perkhidmatan utama atau sebahagian daripada komponen perkhidmatan utama, pesalah akan berhadapan hukuman maksimum penjara 10 tahun, denda atau kedua-duanya sekali.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda