Oleh Aqilah HMS –
Saya seorang jururawat. Sudah hampir lapan tahun saya bekerja di hospital daerah.
Sepanjang tempoh itu, macam-macam saya lihat dari kelahiran yang menggembirakan, hinggalah pemergian yang menyayat hati.
Tapi tidak pernah saya sangka, kerja saya sendiri boleh jadi sebab saya ‘dihantar sesuatu’.
Semua bermula dengan seorang pesakit wanita pertengahan umur.
Dia datang dengan luka-luka kecil, tapi cara dia pandang saya lain macam.

Pandangan tajam, langsung tak berkelip. Saya cuba bersikap profesional seperti biasa. Tapi sejak malam itu, hidup saya berubah.
Saya mula bermimpi aneh wajah wanita itu muncul dalam tidur saya, berdiri diam di hujung katil, senyum.
Bukan senyum manis, tapi senyum yang beku dan kosong. Saya terjaga setiap malam pukul 3:33 pagi. Selalu waktu yang sama.
Bukan itu saja. Dalam bilik sewa saya, bau hangit mula muncul. Seperti bau rambut terbakar.
Saya sangka wayar elektrik rosak, tapi bila periksa semuanya normal.
Malah, barang-barang kecil saya seperti peniti, getah rambut, dan pin baju mula hilang satu persatu.
Paling saya tak boleh lupa, satu malam saya balik syif malam. Penat tidak terkata. Sampai rumah, saya masuk bilik dan terdengar suara berbisik dari dalam almari.
“Terima kasih… dah bawa balik…”
Saya hampir pitam. Almari saya cuma ada pakaian. Bila saya buka, tiada siapa.
Tapi dalam laci, ada segumpal rambut hitam panjang yang bukan milik saya.
Bau busuk menyengat naik. Saya campak keluar malam itu juga.
Saya ceritakan pada kawan saya, sesama jururawat. Dia syorkan saya berjumpa ustaz.
Selepas rawatan, ustaz cuma senyum dan kata, “Ada yang iri. Hantar guna orang sakit. Awak kuat, tapi jangan biar hati kosong.”
Baru saya sedar, beberapa minggu sebelum kejadian, saya banyak termenung, hilang semangat.
Mungkin waktu itu saya ‘terbuka’, dan benda tu menumpang.
Sekarang, saya lebih berhati-hati. Bukan saja dengan pesakit, tapi dengan emosi sendiri.
Saya solat lebih awal, baca doa sebelum dan selepas kerja.
Saya percaya, dalam dunia ni, bukan semua sakit itu jasmani. Ada juga yang datang dalam bentuk halus, menghuni ruang yang kita tak nampak, tapi sangat terasa.