Saturday, September 28, 2024
30.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Gangguan Laluan Timur-Barat Singapura dijangka selesai Isnin

    SINGAPURA, 27 SEPT – Gangguan perkhidmatan kereta api di Laluan Timur-Barat Singapura memasuki hari ketiga, hari ini, dengan pengendali kereta api SMRT berusaha untuk memulihkan perkhidmatan penuh menjelang Isnin ini.

    Perkhidmatan kereta api antara Jurong East dan Buona Vista, meliputi empat stesen, masih terjejas walaupun usaha kira-kira 300 jurutera dan juruteknik untuk melakukan pembaikan dan pemeriksaan pada landasan dan peralatan yang rosak.

    Untuk mengurangkan kesan kepada penumpang, perkhidmatan bas biasa dan bas penghubung percuma disediakan sementara kira-kira 620 kakitangan daripada pelbagai agensi berada di lapangan bagi membantu menguruskan orang ramai.

    Masalah penumpang bermula pada pagi Rabu disebabkan oleh kereta api generasi pertama yang telah berkhidmat selama lebih 35 tahun.

    Kereta api itu ditarik kembali ke depoh tetapi ia telah menyebabkan kerosakan pada landasan, termasuk rel larian dan rel ketiga yang membekalkan kuasa kepada kereta api, menyebabkan gangguan perkhidmatan yang mempengaruhi sembilan stesen dari Boon Lay hingga Queenstown pada hari pertama.

    Siasatan oleh Pihak Berkuasa Pengangkutan Darat (LTA) dan SMRT mendedahkan bahawa kotak gandar kereta api yang rosak telah jatuh, menyebabkan satu daripada bogi terkeluar dari rel larian antara stesen Dover dan Clementi.

    Kerosakan besar pada landasan dan peralatan di tepi landasan telah ditemukan.

    Menteri Pengangkutan, Chee Hong Tat, berkata para pekerja berdepan dengan tugas yang mencabar, kerana mereka perlu menggantikan lebih 30 segmen rel yang rosak, setiap satu beratnya melebihi satu tan. – Bernama

    Gambar Unsplash
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda