Oleh Aqilah HMS –
Aku masih ingat jelas, meskipun sudah bertahun-tahun berlalu, peristiwa hitam yang berlaku dalam hidup keluargaku. Ia bukan sekadar mimpi ngeri, tetapi satu pengalaman yang meragut rasa percaya terhadap orang luar dan membuka mataku tentang kewujudan perkara ghaib yang kadang-kadang kita anggap hanya cerita orang tua.
Segalanya bermula dengan seorang pembantu rumah yang bekerja di rumah kami.
Pada awalnya, kedatangan pembantu rumah itu disambut dengan hati yang terbuka. Dia kelihatan lemah lembut, tutur katanya sopan dan senyumannya menenangkan hati ibu bapaku. Ibu baru sahaja melahirkan adikku, yang ketika itu berusia sekitar setahun dan tentunya dia memerlukan banyak bantuan di rumah.
Pembantu rumah itu pada mulanya menjalankan tugas dengan baik. Dia memasak, mengemas rumah, menjaga kami adik-beradik. Namun, siapa sangka di sebalik wajah tenang itu, tersimpan sesuatu yang mengerikan.
Beberapa minggu selepas dia bekerja, perkara-perkara aneh mula berlaku. Aku masih kecil ketika itu, tetapi cukup besar untuk merasai kelainan suasana di rumah. Pada mulanya, gangguan itu kecil berupa bunyi ketukan di tingkap pada waktu malam, walaupun rumah kami ‘berpagar’. Kadang-kadang terdengar bunyi langkah di ruang tamu walaupun semua orang sedang tidur. Pembantu rumah itu pula sentiasa kelihatan lesu di siang hari, tetapi dia akan selalu berjaga pada waktu malam. Ayahku selalu menegur, tetapi dia hanya menjawab dengan senyuman nipis.
Gangguan semakin menjadi-jadi apabila ibu bapaku keluar bekerja atau ada urusan luar. Bila hanya tinggal kami dengan pembantu rumah itu, suasana rumah terasa lain. Adikku kerap menangis tanpa henti, suara tangisannya serak, seolah-olah dia disakiti. Jiran sebelah rumah pernah datang menegur, “Kenapa biarkan anak kecil menangis lama sangat? Dari tadi kami dengar tidak berhenti.” Dia hanya menjawab dingin, kononnya adik memang suka menangis. Tetapi aku yang berada di situ tahu, tangisan adikku bukan tangisan biasa. Suaranya seakan tersekat-sekat, seperti menahan kesakitan.


Ada sekali, aku terlihat dengan mata kepalaku sendiri terlihat dia memukul lengan adikku kuat-kuat sehingga kulitnya merah membiru. Bila aku menjerit memanggil nenek, dia cepat-cepat melepaskan. Namun wajahnya langsung tidak menunjukkan rasa bersalah. Pandangan matanya kosong, dingin, seperti tiada perasaan.
Malam-malam berikutnya, gangguan bertambah parah. Lebah-lebah entah dari mana datangnya, memenuhi siling bilik tidurku. Suara dengungannya membuatkan aku tidak mampu melelapkan mata. Ayah pernah cuba menghalau dengan asap, tetapi lebah itu tetap muncul semula malam berikutnya. Lebih menyeramkan, ada malam di mana aku terasa sesuatu berjalan di atas tubuhku ketika tidur.
Bila aku buka mata, beratus ekor tikus hitam kecil-kecil merayap dari hujung kaki ke kepala. Aku menjerit ketakutan dan sebaik lampu dinyalakan, tikus-tikus itu lenyap begitu sahaja.
Ibu dan ayah semakin risau, tetapi mereka masih belum menaruh syak sepenuhnya pada pembantu rumah baru itu. Hanya nenekku, yang masih hidup ketika itu, mula berasa sesuatu tidak kena. Nenekku seorang yang berilmu dalam hal-hal lama. Dia bukan bomoh, tetapi dia arif tentang doa-doa, ayat-ayat Al-Quran dan petua orang tua.
Kata nenek, ada sesuatu yang ditanam di belakang rumah. Malam itu juga, dia mengajak ayah menggali tanah di hujung halaman. Ternyata sangkaannya benar. Di situ mereka menemui bungkusan kain hitam berisi benda-benda pelik seperti rambut yang digulung, paku berkarat, serpihan tulang kecil dan kertas dengan tulisan aneh yang tidak difahami.
Bau busuk menyengat hidung seolah-olah bungkusan itu sudah lama ditanam.
Nenek membacakan ayat-ayat suci dan menyuruh ayah membakar benda itu. Malam itu, tiba-tiba kedengaran suara seperti orang meraung kuat, suaranya parau seperti orang kesakitan. Tiba-tiba pembantu rumah kami itu datang menangis sambil memegang kepalanya, meminta maaf berkali-kali kepada kami. “Jangan pulangkan balik… jangan…” katanya dalam bahasa yang bercampur-aduk.
Kami semua terkejut, kerana nenek tidak memberitahu apa-apa pun kepadanya. Tetapi seolah-olah dia tahu apa yang sedang dilakukan nenek.
Sejak malam itu, nenek tidak berhenti berdoa. Dia membaca ayat-ayat ruqyah di setiap sudut rumah.
Nenek juga membacakan air untuk kami sekeluarga minum dan mandi. Aneh sekali, setiap kali nenek membaca, dia akan berpeluh dingin dan wajahnya pucat seperti orang yang sedang sakit tenat. Dia mengelak dari bertentang mata dengan nenek.
Beberapa hari kemudian, ketika ibu bapaku tiada di rumah, dia cuba untuk menyakiti adikku lagi. Aku terdengar tangisan yang kuat dari bilik. Bila aku masuk, dia sedang menggoncang adikku dengan kasar, seolah-olah mahu menghentikan tangisannya dengan paksaan.
Aku menjerit sekuat hati dan berlari ke rumah jiran memanggil bantuan. Jiran yang datang marah-marah kerana tidak tahan mendengar tangisan adik yang terlalu lama. Dia pura-pura tersenyum, tapi wajahnya jelas kelihatan seperti orang panik.
Tidak lama selepas itu, ayah memutuskan untuk menghantar dia pulang ke negara asalnya. Dia menangis tersedu-sedu, sujud meminta maaf dan mengaku ada orang lain yang menyuruhnya melakukan semua itu. “Saya dipaksa, saya takut, tolong jangan pulangkan,” katanya, suaranya terputus-putus. Namun ayah hanya menjawab, “Perkara yang jahat jangan dibawa ke rumah orang. Kalau engkau tidak mahu, engkau takkan buat.”
Setelah dihantar pulang, ayah masuk ke biliknya untuk mengemas. Alangkah terkejutnya kami bila menemui banyak lagi benda pelik tersembunyi di situ seperti kertas-kertas dengan tulisan aneh, mungkin mantera, botol kecil berisi cecair keruh, kain berwarna merah yang dilipat dan beberapa alat yang langsung tidak difahami kegunaannya.
Semuanya dibakar oleh ayah selepas nenek membacakan doa. Bau busuk semerbak keluar dari api, seperti bau bangkai terbakar.
Sejak dia pergi, rumah kami kembali tenang. Lebah-lebah yang memenuhi siling hilang begitu sahaja, tikus-tikus yang selalu mengganggu tidak muncul lagi dan adikku tidur lena tanpa tangisan panjang. Nenek selalu berpesan, “Kalau kita buka pintu untuk orang yang tidak jujur, jangan hairan kalau bala masuk sekali.” Kata-kata itu sampai hari ini masih terngiang di telingaku.
Peristiwa itu meninggalkan trauma dalam hidup kami. Aku belajar bahawa tidak semua orang yang senyum di hadapan kita ikhlas dalam hati. Aku juga belajar, doa dan pegangan pada Tuhan adalah benteng yang paling kuat melawan kejahatan yang tak dapat dilihat oleh mata.
Kadang-kadang, musuh bukan datang dari luar rumah, tetapi dari dalam rumah sendiri, melalui tangan orang yang kita percaya.

