Sejak kebelakangan ini, kawasan perumahan kami di Jalan Binglu Utara, RPN Kampung Meragang, sering diganggu oleh monyet liar yang semakin berani dan agresif. Haiwan tersebut bukan sahaja naik ke atas kereta sehingga meninggalkan kesan calar, malah turut mengoyak beg sampah dan menaburkan isinya hingga menyebabkan kawasan sekitar menjadi kotor dan berbau.
Apa yang lebih membimbangkan, monyet itu juga hampir mencederakan beberapa kanak-kanak yang sedang bermain di rumah jiran saya. Walaupun penduduk cuba menghalaunya dengan bunyi bising atau kayu, haiwan tersebut langsung tidak takut. Malah semakin berani menunjukkan taringnya. Keadaan ini benar-benar mengganggu ketenteraman dan keselamatan awam.
Saya berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan segera untuk menangkap dan memindahkan haiwan tersebut ke kawasan yang lebih sesuai. Jika dibiarkan, saya khuatir kejadian yang lebih serius akan berlaku, termasuk kemungkinan mencederakan penduduk atau merosakkan lebih banyak harta benda.
Keselamatan komuniti perlu diutamakan. Gangguan seperti ini mungkin nampak kecil, tetapi jika tidak ditangani segera, ia boleh menjejaskan kesejahteraan dan rasa aman dalam kalangan penduduk.
Karl







