Friday, September 20, 2024
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Gangguan semasa tinggal bersendirian

    Oleh Naddyhs –

    Apabila musim cuti sekolah tiba, selain melancong tidak hairanlah ramai juga yang akan membuat majlis kenduri terutama majlis perkahwinan. Termasuk sepupu saya yang juga akan melangsungkan majlis perkahwinannya pada bulan ini.

    Memang sudah menjadi kebiasaan adat orang kitani akan mengadakan malam berjaga-jaga sebelum tibanya hari persandingan. Sudah dua malam berturut-turut kami menghadiri acara tersebut di rumah sepupu saya. Terasa suasana lebih meriah memandangkan keluarga sebelah ayah adalah keluarga yang besar.

    Seperti biasanya tiap malam akan diadakan acara berjaga-jaga, hari ini malam ketiga tetapi badan saya terasa begitu letih dan membuat keputusan untuk berehat saja di rumah.

    “Banar inda kau ikut arah amit mu ni lai? Kau ganya seorang ni di rumah,” kata ayah yang sedang duduk di sofa menanti ibu bersiap meminta kepastianku. Saya mengiyakan pertanyaan ayah. Memang sudah terbiasa antara kami empat beradik tinggal sendirian di rumah walau pada waktu malam.

    “Jangan buka pintu kalau ada orang yang inda dikenali mengatuk. Lepas memasak jangan lupa tutup tambak,” begitulah pesanan ibu dan ayah sebelum mereka berjalan ke rumah sepupu saya.

    Foto Canva

    Malam itu hujan turun dengan lebatnya. Saya menghabiskan masa dengan melayari laman sosial di telefon bimbit. Tiada rancangan televisyen yang menarik malam itu. Jam telah menunjukkan pukul 8:30 malam, perut pula terasa lapar. Saya menuju ke dapur untuk memasak mi segera sahaja. Sementara menunggu mi masak, tiba-tiba terdengar seperti tingkap diketuk. Saya tidak menghiraukannya dan menyangka mungkin salah dengar memandangkan bunyi hujan dan guruh yang kuat. Mi telah siap dihidang dan hanya dengan beberapa suap sahaja tiba-tiba terdengar seperti pintu dapur diketuk.

    Ya, tidak silap lagi itu adalah bunyi ketukan. Mustahil mereka pulang begitu awal dan kenapa pula melalui pintu dapur. Saya cuba berfikiran positif, mungkin malam ini mereka pulang awal dan kerana hujan lebat, saya tidak mendengar ketukan mereka di pintu utama. Saya beranikan diri untuk membuka pintu dan menjenguk keluar tetapi tidak ada kelibat seorang pun di luar. Saya terus menutup pintu. Hilang selera makan kerana ketakutan. Dengan mulut terkumat kamit membaca surah yang dihafal, saya mengemas apa yang patut dan terus meluru ke ruang tamu.

    Hujan beransur teduh dan saya menonton televisyen untuk meredakan ketakutan ini. Pintu utama tiba-tiba diketuk. Jam di telefon bimbit menunjukkan pukul 10:30 malam. “Dorang kali ni eh,” Sangka saya lalu membuka pintu. Tapi tiada seorang pun kelibat mereka. Saya jenguk ke garaj kereta, malangnya kereta mereka belum ada. Sekali lagi, ketakutan mula menyelubungi diri. Tiba-tiba terdengar bunyi salakan anjing yang begitu mendayu namun bunyinya agak jauh. Kata orang tua kalau bunyi salakan itu jauh bermakna ‘benda’ itu hampir dengan kita.

    Tiba-tiba bau wangi entah dari mana menusuk ke hidung. Saya terus menutup pintu dan memasang ayat kursi. Peluh dingin mula membasahi diri walaupun penghawa dingin sudah dibuka. Saya hanya berharap mereka pulang dengan cepat.

    Saya mengambil keputusan untuk tidur di dalam bilik sahaja. Baru juga membaringkan diri di atas katil, ketukan itu kembali lagi di tingkap bilik. Kali ini diikuti dengan bunyi seperti orang berlari di atas atap beserta bunyi cakaran. Makin lama makin kuat. Untuk mengurangkan rasa takut, saya berfikir bahawa mungkin itu adalah kerja kucing liar.

    Saya memberanikan diri untuk menjenguk keluar tingkap di sebalik tirai. Dari luar tingkap bilik saya kelihatan atap tingkat bawah. Ketika mata saya melihat sekeliling, tiba-tiba ternampak seperti satu susuk berpakaian putih berdiri di atas atap tidak jauh dari tingkap saya. Dengan cepat saya menutup tirai. Tidak berani untuk merenungnya dengan lama.

    Cukup untuk membuatkan saya menangis ketakutan. Saya menaikkan volume ayat kursi dan surah-surah yang lain. Segera saya menekup diri di dalam selimut ketakutan. Dalam keadaan ketakutan itu, akhirnya terlelap juga.

    Bila saya terjaga, rupanya hari sudah siang. Kepala terasa sakit sekali dan badan juga terasa panas. Rasanya demam ketaguran kata orang. Saya bersyukur hari sudah siang dan gangguan itu sudah berakhir. Saya menceritakan kejadian semalam kepada kakak saya.

    Dia mentertawakan saya dan mengatakan saya penakut. Terasa sakit hati bila kakak mengatakan begitu. Saya hanya merahsiakannya daripada ibu dan ayah.

    Beberapa malam selepas kejadian itu, saya tidak berani untuk tinggal bersendirian. Selang beberapa hari, mungkin ibu baru perasan sesuatu. Dengan nada yang sedikit tinggi dia menanyakan kepada kami tapak tangan siapakah yang banyak di tingkap dapur. Namun tiada seorang pun antara kami yang mengakuinya. Sudahlah di merata tingkap tapak itu, tambah lagi ia seakan bercampur dengan lumpur. Ingatan saya kembali ke kejadian malam itu, adakah itu angkara ‘makhluk’ tersebut atau orang yang nakal melakukannya. Wallahualam.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda