Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Gangguan tidur malam

    Oleh Aqilah HMS –

    Assalamualaikum, kisah ni berlaku dua tahun yang lepas. Nama aku Ainun. Sejak kecil, aku selalu dengar orang tua-tua cakap tentang ‘ketindihan’. Satu keadaan bila roh tak boleh masuk badan, atau makhluk halus duduk atas dada. Dulu aku tak pernah ambil kisah. Tapi semuanya berubah lepas aku pindah ke rumah sewa baru ini.

    Aku duduk seorang di tingkat tiga, blok C. Rumahnya tak besar, cuma dua bilik. Cukup untuk aku yang hidup sendiri, jauh dari keluarga. Pada awalnya, semuanya nampak biasa. Tapi malam pertama aku tidur di situ, aku kena tindih.

    Aku ingat lagi, waktu tu aku baru lelap. Dalam lena, tiba-tiba mata aku terbuka. Tapi badan aku kaku. Tak boleh bergerak langsung. Aku cuba jerit, mulut aku terkunci. Dada aku rasa berat, macam ada sesuatu duduk dan menekan ku daripada atas tubuh ku. Nafas aku pendek, sempit, seolah-olah ada tangan yang cekik perlahan-lahan.

    Dari hujung mata, aku nampak satu bayang hitam, tinggi, kurus dan matanya merah menyala. Ia berdiri di penjuru bilik, memerhati. Aku cuba baca ayat Kursi dalam hati, tapi lidah aku kelu. Peluh dingin mengalir di dahi. Jantung aku berdegup kencang.

    Kemudian, makhluk tu bergerak perlahan ke arah aku. Bunyi langkahnya tak berbunyi, tapi aku tahu, ia makin dekat. Bila ia hampir ke wajah aku, aku nampak senyuman lebar, giginya tajam dan berlumur darah hitam. Dalam sekelip mata, semuanya gelap.

    Gambar chatGPT

    Aku tersedar pagi itu dengan nafas tercungap-cungap. Baju tidur aku basah dengan peluh.

    Aku cuba yakinkan diri, “Mimpi. Cuma mimpi.”

    Tapi kejadian itu berulang malam demi malam. Kadang-kadang makhluk tu berdiri di penjuru bilik, kadang-kadang di hujung katil. Dan setiap kali, aku tak boleh bergerak, tak boleh bersuara. Kadang-kadang, aku dengar ia bisik di telinga aku.

    Suaranya serak dan perlahan. “Rumah ini bukan untuk kau…”

    Aku mula takut untuk tidur. Mata aku lebam, badan makin susut. Kawan-kawan tegur aku di tempat kerja, tapi aku tak tahu nak cakap apa. Nak percaya pun susah.

    Aku cuba tidur dengan lampu buka. Aku pasang surah Yasin di telefon, tapi tetap juga diganggu. Malam-malam aku jadi neraka. Pernah sekali, aku nampak bayang hitam tu duduk mencangkung atas almari, senyum sambil lidahnya menjulur panjang.

    Puncaknya, satu malam, aku tersedar dari ketindihan dengan sesuatu yang lebih dahsyat.

    Aku nampak tubuh aku sendiri berbaring di atas katil. Ya, aku berdiri di tepi katil, tapi aku juga sedang berbaring. Macam roh aku terkeluar. Aku sedar dan merasakan setiap yang berlaku tapi aku tak dapat buat apa-apa.

    Dan makhluk tu sedang duduk atas tubuh aku. Mukanya betul-betul dekat dengan wajah aku yang sedang tidur. Tangannya perlahan-lahan menghulur ke arah roh aku. Aku cuba lari, tapi badan aku terapung tak tentu arah.

    Tiba-tiba, terdengar azan Subuh dari surau berdekatan. Dalam sekelip mata, makhluk tu hilang, dan aku terasa disedut masuk semula ke dalam tubuh aku. Aku terjaga dengan tangisan.

    Hari itu juga aku balik kampung. Mak aku tengok wajah aku pucat, mata aku merah. Dia tahu aku tak sihat. “Nun, kau kena ganggu ke?” tanya mak, lembut.

    Aku angguk. Tak mampu cakap banyak. Malam itu, aku tidur di bilik lama aku. Tiada apa-apa gangguan. Esoknya, mak bawa aku jumpa seorang ustaz. Ustaz tu dengar cerita aku, diam seketika, kemudian berkata, “Rumah tu ada penghuni lama. Dia tak suka orang baru.”

    Aku tanya apa aku boleh buat. “Baca Yasin setiap malam. Jangan tinggal solat. Dan bila tidur, jangan simpan bantal peluk di tengah badan. Kadang-kadang, jin boleh menumpang di situ.”

    Aku ikut nasihat dia. Bila aku kembali ke rumah sewa, aku tabur garam kasar dan baca Yasin di setiap sudut rumah. Malam itu, aku masih rasa takut, tapi aku tak kena tindih.

    Tapi gangguan tu tak hilang sepenuhnya. Kadang-kadang aku masih dengar bisikan.

    Kadang-kadang, bila aku pandang cermin, aku rasa ada bayang hitam di belakang aku.

    Tapi aku kuatkan semangat.

    Sampai hari ini, aku masih tak tahu apa makhluk tu sebenarnya. Tapi aku tahu satu hal, dunia ini bukan milik manusia sahaja. Ada yang memerhati. Dan kalau kau tidur dalam gelap, jangan lupa baca doa. Sebab bila kau tak sedar, mungkin ada mata lain yang sedang terbuka. Menunggu.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda