Tuesday, May 6, 2025
31.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ganja diseludup sebagai ‘Hadiah Hari Raya’ melalui kiriman

    KUCHING, 5 MEI – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak berjaya menggagalkan dua cubaan penyeludupan dadah jenis ganja menggunakan perkhidmatan kiriman
    cepat di Sri Aman, dengan rampasan keseluruhan seberat 2.1 kilogram bernilai lebih RM62,000.

    Pengarah Kastam Negeri Sarawak Norizan Yahya berkata rampasan pertama dibuat pada 28 Mac lepas sekitar 10:15 pagi, susulan pemeriksaan oleh sepasukan pegawai kastam dari Cawangan Narkotik JKDM Kuching ke atas sebuah syarikat perkhidmatan kurier di Jalan Durian, Sri Aman.

    “Hasil pemeriksaan telah menemukan empat bungkusan yang disyaki mengandungi dadah jenis ganja dengan berat kasar 1.024 gram yang dianggarkan bernilai RM30,720,” katanya dalam kenyataan pada hari ini.

    Beliau berkata dalam pemeriksaan di premis yang sama pada 2 April kira-kira 11:30 pagi pula, pasukan yang sama turut menemukan empat lagi bungkusan ganja seberat 1.078 gram yang dianggar bernilai RM32,160.

    Norizan berkata modus operandi yang digunakan dalam kedua-dua kes adalah serupa, iaitu dadah tersebut diseludup melalui perkhidmatan udara dan diikrar sebagai ‘Hadiah Hari Raya’.

    “Bungkusan juga dialamatkan ke lokasi yang tidak lengkap sebagai taktik untuk mengelak dikesan pihak berkuasa,” katanya dan menambah ganja itu disita di bawah Seksyen 30(1) Akta Dadah Berbahaya 1952. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda