Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 15 JAN – Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB) dan anak-anak syarikatnya, Insurans Islam TAIB Holdings Sdn Bhd (IITHSB) dan Darussalam Holdings Sdn Bhd (DHSB) menyertai Pesta Pengguna ke-30 di Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC) di Berakas bermula hari ini hingga Ahad.
Para pengunjung boleh menikmati tawaran eksklusif dan ganjaran menarik di petak pameran Perbadanan TAIB dan anak-anak syarikatnya, yang merupakan pusat sehenti bagi penyelesaian kewangan, perlindungan takaful dan perkhidmatan pelancongan, yang mencerminkan komitmen kumpulan untuk menyokong pelanggan mencapai matlamat mereka.
Pengunjung boleh menikmati tawaran perbankan eksklusif, termasuk pengecualian yuran tahunan sehingga tiga tahun bagi pendaftaran kad kredit baharu.
50 pemohon pertama akan menerima hadiah segera dan semua permohonan yang berjaya akan dimasukkan ke dalam cabutan bertuah untuk memenangi Apple Watch S10, Samsung Tab A9+, atau baucar Supa Save bernilai $150.
Selain itu, 100 pelanggan pertama yang membuka akaun Perbadanan TAIB TDC atau Retirement Saver melalui TAIBVX di pameran itu akan menerima baucar minyak TAIB bernilai $5.
Bagi mereka yang mencari pembiayaan peribadi, konsolidasi, pendidikan atau penambahbaikan rumah, Perbadanan TAIB menawarkan kadar keuntungan sebanyak 5.50 peratus dan pengecualian 50 peratus bagi yuran pemprosesan untuk pembiayaan bermula daripada $10,000 dengan tempoh enam tahun. Seramai 50 pemohon pertama juga akan menerima hadiah segera.
IITHSB menawarkan pelbagai produk Takaful termasuk Takaful Kenderaan, Takaful Pemilik Rumah, Takaful Kembara, Ar-Rizq Max Takaful Plus, Takaful Profesional dan banyak lagi.
Pengunjung boleh menikmati tawaran khas dan promosi apabila menyertai atau memperbaharui produk Takaful di Pesta Pengguna ke-30 dengan peluang untuk menerima baucar minyak dan barangan lain.
Selain itu, IITHSB juga mempamerkan Kempen Peluang Keemasan yang sedang berlangsung, memberikan pelanggan peluang untuk memenangi hadiah emas sehingga 50 gram melalui penyertaan dalam Skim Takaful Am atau Takaful Keluarga, yang berlanjutan sehingga 28 Februari 2025.
Darussalam Services Sdn Bhd, anak syarikat DHSB, menawarkan diskaun $100 bagi mana-mana pakej umrah atau pakej pelancongan antarabangsa dengan deposit atau pembayaran penuh yang dibuat semasa pameran. Pelanggan yang mendaftar untuk pakej pelancongan juga akan menerima set beg percuma.