Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ganjaran menuju perhimpunan solat Jumaat: Rebutlah ia!

    (Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

    Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan

    Sambungan minggu lepas

    Selain itu, dia juga disunatkan untuk mengisi perjalanannya itu dengan membaca al-Qur’an atau berzikir terutama sekali bacaan salawat.

    Ini hanya dituntut dalam perjalanan ke masjid sahaja.

    Adapun bagi perjalanan pulang dari masjid, maka perkara ini tidak dituntut bahkan dia boleh memilih sama ada hendak berjalan kaki ataupun menggunakan kenderaan.

    Sepertimana yang telah disebutkan tadi bahawa tuntutan ini adalah bagi mereka yang mampu, tidak mempunyai kesukaran yang boleh menjejaskan rasa khusyuk dan tidak mempunyai sebarang keuzuran.

    Bagi mereka yang tidak mampu serta mempunyai kesukaran dan keuzuran untuk berjalan kaki ke masjid pula, misalnya atas sebab usia tua, lemah, sakit atau rumahnya sangat jauh dari masjid, maka menurut Imam ar-Ramli Rahimahullah adalah lebih afdhal dia menaiki kenderaan.

    Foto Canva

    Ini bagi mengelak sebarang kesukaran dan kepayahan yang boleh timbul kerana berjalan kaki, di mana dikhuatiri kesukaran dan kepayahan itu akan menjejaskan rasa
    khusyuk ketika menunaikan sembahyang Jumaat.

    (3) DUDUK DI SAF HADAPAN

    Disunatkan ke atas jemaah sembahyang Jumaat supaya duduk dekat dengan imam. Adapun maksud tuntutan duduk dekat dengan imam di sini ialah mengisi saf-saf yang paling hadapan yang masih kosong.

    Dengan duduk di saf hadapan, seorang makmum itu bukan sahaja akan mendapat fadhilat berada di saf hadapan, bahkan dengan berada pada saf-saf hadapan itu akan membantunya untuk lebih memberi tumpuan ketika mendengar khutbah.

    Duduk di saf hadapan ini dituntut seiringan dengan tuntutan diam mendengar khutbah.

    Oleh itu, sekiranya dia duduk di saf hadapan, tetapi tidak mendengar khutbah, maka dia belum dikira memenuhi tuntutan dalam hadits berkenaan.

    Begitu juga sebaliknya sekiranya dia mendengar khutbah akan tetapi dia tidak mengisi saf-saf yang di hadapan, dia juga dikira belum memenuhi tuntutan tersebut.

    (4) DIAM MENDENGAR KHUTBAH DAN TIDAK BERBUAT SIA-SIA

    Jemaah sembahyang Jumaat disunatkan untuk diam dan mendengar khutbah Jumaat dan makruh bagi mereka berkata-kata. Ini sepertimana yang dijelaskan dalam sebuah hadits riwayat Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, bahawasanya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda yang maksudnya:

    Jika engkau mengatakan kepada sahabatmu: “Tolong diam!”, padahal imam pada waktu itu sedang berkhutbah, maka sesungguhnya engkau benar-benar telah berkata sia-sia.
    (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

    Maksud “sia-sia” di sini ialah bertentangan dengan sunnah, adab dan mengakibatkan rugi pahala dan kelebihan-kelebihan sembahyang Jumaat walaupun sembahyangnya masih dikira sah.

    Dapat difahami daripada hadits ini bahawa apa pun jenis kata-kata mahupun perbualan adalah dilarang sama sekali ketika khutbah Jumaat sedang dibacakan.

    Ini kerana jika kata-kata seorang jemaah yang menyuruh seorang jemaah yang lain supaya diam dan mendengar khutbah itu pun sudah dikategorikan sebagai sia-sia, sedangkan perbuatan itu merupakan satu suruhan ke arah kebaikan, maka apatah lagi kata-kata biasa atau perbualan kosong semata-mata.

    Menurut Imam An-Nawawi Rahimahullah, bagi mereka yang dapat mendengar khutbah, diam mendengarkan khutbah Jumaat itu adalah lebih utama daripada membaca al-Qur’an, berzikir dan sebagainya.

    Ini kerana terdapat qaul (pendapat) yang mengatakan bahawa diam untuk mendengar khutbah Jumaat itu adalah wajib.

    Adapun bagi orang yang tidak dapat mendengar khutbah pula, misalnya kerana duduk jauh daripada imam ataupun suara imam tidak dapat didengar, maka adalah lebih utama baginya pada ketika itu membaca al-Qur‘an terutamanya surah al-Kahfi, bersalawat, bertasbih, berzikir dan sebagainya dengan suara yang perlahan supaya tidak mengganggu jemaah-jemaah yang lain.

    Selain berkata-kata, jemaah sembahyang Jumaat juga ditegah daripada melakukan apa sahaja perbuatan yang sia-sia.

    Ini berdasarkan sebuah hadits shahih yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, bahawasanya Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda yang maksudnya:

    Sesiapa yang berwudhu dan menyempurnakan wudhunya, kemudian dia (pergi ke masjid) untuk menunaikan sembahyang Jumaat, lalu mendengar dan tidak bercakap (ketika khutbah disampaikan), maka diampuni dosa-dosanya yang ada di antara hari Jumaat itu dan hari Jumaat berikutnya dan ditambah tiga hari lagi.

    Dan sesiapa yang bermain-main dengan anak-anak batu (ketika khutbah), maka dia telah berbuat sia-sia.
    (Hadits riwayat Muslim)

    Dalam hadits ini, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dengan jelas telah menegaskan bahawa sesiapa yang bermain-main dengan anak-anak batu ketika khutbah Jumaat itu
    telah melakukan suatu perbuatan yang sia-sia.

    Maksud “perbuatan yang sia-sia” dalam hadits ini sepertimana yang telah diterangkan sebelum ini ialah apa sahaja perbuatan yang bertentangan dengan sunnah, adab dan mengakibatkan rugi pahala dan kelebihan-kelebihan sembahyang Jumaat walaupun sembahyangnya masih dikira sah.

    Menurut ulama, larangan dalam hadits tersebut tidak hanya terbatas kepada bermain dengan anak batu sahaja, bahkan larangan tersebut menyeluruh terhadap semua perbuatan yang boleh menjejaskan tumpuan terhadap khutbah Jumaat.

    Antara perbuatan yang termasuk dalam kategori sia-sia ini ialah perbuatan menggunakan telefon bimbit ketika khutbah dibacakan.

    Bahkan perbuatan tersebut sebenarnya lebih buruk lagi daripada perbuatan bermain dengan anak batu kerana perbuatan seperti bermain game, melayari halaman internet, berkomunikasi melalui halaman rangkaian sosial dan sebagainya itu adalah sangat jelas lebih menghilangkan kekhusyukan dan menjejaskan tumpuan terhadap khutbah Jumaat.

    Ia jelas sekali merupakan suatu perbuatan yang bertentangan dengan sunnah dan adab yang menuntut kita supaya diam dan meninggalkan segala perbuatan yang boleh menjejaskan tumpuan terhadap khutbah Jumaat.

    Oleh itu, perbuatan ini sayugianya ditinggalkan kerana ianya mengakibatkan kerugian yang sangat besar, iaitu kehilangan pahala dan kelebihan-kelebihan sembahyang Jumaat.

    Demikian perbincangan mengenai perkara-perkara yang jika disempurnakan tuntutannya secara menyeluruh akan menjadikan setiap langkah seseorang menuju masjid untuk mendirikan sembahyang Jumaat itu dikurniakan ganjaran satu tahun puasa dan satu tahun qiyam.

    Maka bagi mereka yang memiliki kelapangan dan kemampuan, adalah tidak wajar untuk mengabaikan peluang seumpama ini yang hanya datang seminggu sekali.

    Rebutlah peluang ini bagi menambahkan bekalan pahala di akhirat serta mengangkat darjat di sisi Allah Subhanahu wa Ta‘ala.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda