Gantz, Netanyahu diberi 48 jam tubuh kerajaan gabungan

BAITULMAQDIS, 14 APRIL – Speaker parlimen Israel Benny Gantz diberikan masa 48 jam hari ini untuk mencapai satu perjanjian mengenai penubuhan kerajaan gabungan kecemasan dengan bekas pencabar pilihan raya, Perdana Menteri Benjamin Netanyahu.

Tempoh rundingan yang terhad itu diluluskan oleh Presiden Reuven Rivlin beberapa minit selepas mandat empat minggu Gantz untuk menubuhkan sebuah kerajaan luput tempohnya.

Dalam satu kenyataan bersama, gabungan Biru dan Putih pimpinan Gantz dan parti Likud Netanyahu berkata ‘kemajuan besar’ telah dicatat ke arah pemeteraian perjanjian dalam rundingan di antara kedua-dua pemimpin pada awal pagi ini.

Namun dakwaan perkembangan dalam rundingan gabungan telah dibuat berkali-kali sejak pilihan raya Israel pada 2 Mac, sementara satu perjanjian masih belum dicapai.

Gantz dan Netanyahu telah membincang pelbagai rancangan, termasuk perjanjian yang akan melihat Gantz mengambil alih sebagai perdana menteri selepas beberapa bulan. – AFP