Friday, May 9, 2025
31.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Gapai impian demi bangsa dan negara

    Oleh Nurdiyanah R.

    Sistem pendidikan mantap dan komprehensif seiring dengan perkembangan masa merupakan aset penting bagi membangunkan masyarakat dan negara.

    Dengan erti kata lain, ia bagaikan salah satu nadi bagi melakar perkembangan positif dalam pelbagai aspek untuk kepentingan tanah air.

    Ke arah memperkasakan sistem pendidikan negara, kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menerusi Kementerian Pendidikan sebagai agensi peneraju dalam membangun serta membentuk sumber tenaga manusia akan terus mendukung hasrat untuk merealisasikan wawasan negara 2035, khususnya dalam menghasilkan rakyat yang berpendidikan dan berkemahiran tinggi serta berakhlak mulia, seiring dengan sektor pembangunan dan ekonomi negara.

    Sehubungan itu, saban tahun, pelaburan pihak kerajaan dalam bidang pendidikan termasuklah penyediaan skim-skim biasiswa sememangnya bertujuan bagi melahirkan generasi pelapis yang suatu hari nanti akan memimpin dan memacu pertumbuhan sosioekonomi negara.

    Lebih 100 penerima anugerah biasiswa
    Sekitar pertengahan Ogos lalu, Majlis Penganugerahan Biasiswa Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia di bawah Skim Biasiswa ke Luar Negara dan Skim Biasiswa Khas Dalam Negara ke Sekolah-sekolah Antarabangsa Sesi Akademik 2022/2023 telah berlangsung di Dewan An-Naura, Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

    Awang Badri Aiman Khan selaku penerima biasiswa kerajaan bagi melanjutkan pengajian peringkat sarjana muda dalam bidang Data Science di Michigan State University.
    Dayang Siti Safwana ketika ditemui penulis semasa majlis berkenaan.
    Dayang Nur Afifah Syafiqah (kanan) dan Dayang Nur Afiqah Hamizah meluahkan keterujaan penuh syukur dapat meneruskan pengajian dalam Dental Surgery yang pasti-nya bermanfaat semasa kembali ke tanah air nanti.
    (Dari kiri) Awang Muhammad Nurhilmi, Dayang Batrisyia Syahirah, Awang Hadifferas selaku penerima biasiswa kerajaan di bawah Skim Biasiswa Perubatan UBD bersama partner medical di University of Glasglow selama tiga tahun.

    Seramai 48 orang pelajar telah dianugerahkan biasiswa kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia di bawah Skim Biasiswa ke Luar Negara di peringkat ijazah sarjana muda dan 32 orang penerima biasiswa kerajaan di bawah Skim Biasiswa Perubatan dan Pergigian Universiti Brunei Darussalam (UBD) bersama partner medical dan dental school di luar negara.

    Di samping itu, seramai 21 orang pelajar telah dianugerahkan dengan biasiswa kerajaan di bawah Skim Biasiswa Khas Dalam Negara bagi peringkat menengah dan 18 orang pelajar dianugerahkan bagi pengajian peringkat prauniversiti.

    Kejayaan ibu bapa pembakar semangat
    Kejayaan dan pengalaman manis kedua ibu bapa ketika melanjutkan pengajian di luar negara dengan biasiswa kerajaan merupakan salah satu pembakar semangat Awang Badri Aiman Khan bin Badrul Zeman Khan selama ini dan kini impiannya membuahkan hasil setelah menerima biasiswa kerajaan bagi melanjutkan pengajian peringkat sarjana muda dalam bidang Data Science di Michigan State University, Amerika Syarikat.

    Beliau sebelumnya menuntut di Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan (Maktab Sains) dan mendapat keputusan cemerlang dalam Peperiksaan Brunei-Cambridge GCE A Level iaitu 1 A* dan 2 A bagi mata pelajaran Accounting, Chemistry dan Mathematics.

    Turut berkongsi tips kejayaan yang diperolehinya, Awang Badri menyatakan antara teknik pembelajaran yang sering dilakukan ialah amalan mengulang kaji koleksi kertas soalan peperiksaan tahun-tahun sebelumnya sebagai latihan berterusan khususnya apabila berdepan dengan soalan-soalan yang mencabar.

    Selain itu, kaedah mind-mapping turut menjadi salah satu peneman setianya untuk lebih memahami isi kandungan pembelajaran selama ini.

    “Dengan kursus pengajian selama empat tahun itu nanti, pastinya peluang sekali seumur hidup ini tidak akan saya sia-siakan bahkan adalah menjadi amanah diri ini untuk terus berbakti dan membantu pihak kerajaan berbekalkan pengetahuan dan kemahiran yang diterokai terutamanya dalam menganalisis sistem data yang berkaitan dengan komputer dan juga matematik,” ujarnya lanjut.

    Asah ilmu kesukanan dan sains kesihatan
    Dengan pencapaian gred 1 A* bagi mata pelajaran Psychology, dan mata pelajaran Mathematics dan Chemistry pula diperolehi dengan gred B semasa menduduki Peperiksaan Brunei-Cambridge GCE A Level di Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah (Maktab Duli) pada sebelumnya, telah membawa sinar harapan kepada Dayang Siti Safwana binti Abdullah Shirul Alimen untuk melanjutkan pengajian peringkat sarjana muda dalam jurusan Sport Exercise and Health Sciences di University of Birmingham, United Kingdom.

    “Setelah berjaya nanti, adalah menjadi impian tulus diri ini untuk menabur ilmu pengetahuan dan kemahiran kepada anak bangsa dengan nilai-nilai pendidikan yang berkualiti bagi lebih bersedia menempuhi arus pendidikan yang berdaya saing,” jelasnya.

    Kejayaan itu bukan suatu yang mudah dicapai namun perlunya disiplin diri dengan bijak mengatur masa antara keluarga, pembelajaran dan self-care di samping kita mestilah sentiasa memperbetulkan niat setiap masa.

    Teruja lanjut pengajian dalam dental surgery
    Penulis juga berkesempatan menemu bual dua orang penerima biasiswa kerajaan di bawah Skim Biasiswa Pergigian UBD bersama dental school di luar negara iaitu Dayang Nur Afifah Syafiqah binti Muhd Safwan dan Dayang Nur Afiqah Hamizah binti Haji Amran.

    Mereka merupakan mahasiswi UBD yang mengikuti tawaran twinning programme bagi peringkat sarjana muda dalam jurusan Dental Surgery iaitu tiga tahun mengikuti tempoh pembelajaran di UBD dan tambahan tiga tahun lagi di salah sebuah universiti yang terpilih di luar negara.

    Dayang Nur Afifah yang menerima tawaran biasiswa untuk melanjutkan pengajian di University of Newcastle, Australia sementara Dayang Nur Afiqah pula di University of Glasgow, United Kingdom itu antaranya meluahkan keterujaan penuh syukur dengan adanya peluang meneruskan pengajian berkenaan di mana mereka akan berusaha sedaya upaya untuk menimba pengetahuan dan pengalaman dalam bidang pengkhususan lebih mendalam yang pastinya begitu bermanfaat sebagai bekalan semasa kembali ke tanah air nanti.

    Bukan cita-cita semata-mata
    Manakala, bagi tiga orang penerima biasiswa kerajaan di bawah Skim Biasiswa Perubatan UBD bersama partner medical di luar negara, iaitu Awang Muhammad Norhilmi bin Mohammad, Awang Hadifferas bin Jonity dan Dayang Batrisyia Syahirah binti Haji Rakawih akan melanjutkan pengajian mereka di University of Glasglow selama tiga tahun.

    “Peluang ini pastinya membuka ruang yang lebih luas kepada kami untuk menerokai bidang perubatan dengan sebaik-baiknya.

    “Namun bukanlah hanya untuk menggapai cita-cita semata-mata bahkan satu hal yang sentiasa menjadi prinsip dalam diri kami sebagai pelajar perubatan ialah jiwa empati yang tinggi untuk sama-sama menggapai matlamat ke arah membantu kesejahteraan masyarakat terutamanya dalam aspek kesihatan secara menyeluruh,” ucap mereka dengan tulus semasa mengakhiri pertemuan bersama penulis, baru-baru ini.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda