HANOI – Sebuah aplikasi media sosial yang dibangunkan secara tempatan di Vietnam, bertujuan untuk menggalakkan penggunaan platform sendiri di negara komunis itu, mengalami masalah selepas beberapa jam dilancarkan.
Dikenali sebagai Gapo, aplikasi itu digambarkan sebagai sebuah versi tempatan mirip Facebook.
Gapo dilancarkan baru-baru ini sekali gus menjadi laman media sosial terbaharu di Vietnam dan menetapkan sasaran seramai 20 juta pengguna menjelang tahun 2021.
Bagaimanapun, selepas pelancarannya baru-baru ini, laman web itu mengalami masalah teknikal ekoran terlalu ramai pengguna cuba mendaftar akaun Gapo. Sejumlah pengguna disekat membuat pendaftaran manakala ramai lagi gagal menggunakan fungsi aplikasi berkenaan.
“Ada masalah akan berlaku apabila sistem ini mencapai tahap tertentu,” kata Pengasas Bersama Gapo, Duong Vi Khoa menerusi satu perkongsian di Facebook.
Walaupun mirip Facebook, Khoa berkata: “Gapo tidak mempunyai niat bersaing dengan mana-mana rangkaian media sosial.”
Gapo membolehkan pengguna untuk mencipta profil peribadi, memuat naik video dan gambar serta menulis komen di laman berbentuk ‘paparan berita’.
Gapo menerima pembiayaan sebanyak AS$21 juta daripada syarikat induk, G-Capital. – AFP

