Friday, December 27, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Gara-gara barang mencurigakan, terminal Gatwick dikosongkan

    LONDON, 22 NOV – Terminal Selatan Lapangan Terbang Gatwick dikosongkan sebagai langkah berjaga-jaga, sementara pihak polis menyiasat barang mencurigakan yang ditemui dalam bagasi hari ini.

    Polis Sussex dalam kenyataannya memaklumkan mereka telah dipanggil ke terminal tersebut pada pukul 8:20 pagi waktu tempatan susulan laporan mengenai ‘barang larangan yang disyaki.’

    “Bagi memastikan keselamatan orang awam, kakitangan dan pengguna lapangan terbang lain, kawasan keselamatan telah dikawal ketat sementara siasatan dilakukan,” menurut kenyataan itu.

    “Sebagai langkah berjaga-jaga, pasukan pemusnah bahan letupan (EOD) telah dihantar ke lokasi.”

    Lapangan Terbang Gatwick dalam kenyataannya di platform media sosial X memaklumkan Terminal Selatan akan ditutup sementara sehingga isu itu diselesaikan.

    Pengendali rangkaian kereta api Britain turut mengesahkan stesen kereta api yang beroperasi di lapangan terbang itu telah ditutup.

    “Kami sedang berusaha keras untuk menangani isu ini secepat mungkin,” menurut kenyataan rasmi lapangan terbang tersebut. – AP

    Para penumpang ketika menuju ke bahagian pelepasan di Lapangan Terbang Gatwick berhampiran Crawley, selatan London, pada 22 Julai 2020. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda