COLOMBO, 24 APRIL – Polis Sri Lanka hari ini menggesa orang ramai untuk tidak lagi berkunjung ke bandar Kandy, selepas empat maut dan ratusan lagi jatuh sakit ketika beratur untuk melihat pameran gigi Buddha yang berlangsung hingga Ahad ini.
Ketua Polis Wilayah, Lalith Pathinayake, berkata barisan sepanjang 10 kilometer telah terbentuk sejak awal pagi apabila lebih 450,000 penganut membanjiri bandar itu, melebihi dua kali ganda jumlah harian yang dijangka.
“Dengan kadar pergerakan barisan sekarang, mereka yang sudah beratur sejak pagi mungkin tidak sempat memasuki kuil,” ujar beliau sambil merayu orang ramai supaya mengelak dari datang ke Kandy buat masa ini.
Hospital utama kerajaan di bandar itu melaporkan lebih 300 orang dimasukkan ke hospital akibat kepenatan dan kesesakan, manakala empat termasuk seorang wanita warga emas meninggal dunia ketika tiba untuk rawatan.
Lebih 2,000 individu pengsan semasa beratur menerima rawatan di 11 unit kesihatan bergerak, menurut pegawai tempatan.
Gabenor wilayah berkenaan, Sarath Abeykoon, berkata pihaknya kini berusaha mengelakkan tragedi rempuhan, sementara pihak berkuasa kesihatan menyuarakan kebimbangan terhadap tahap kebersihan di kawasan itu.
Polis komando turut dikerah untuk mengosongkan kawasan sekitar sebuah jambatan lama yang berisiko runtuh akibat jumlah pengunjung yang terlalu ramai.
Jabatan Kereta Api Sri Lanka pula telah menggantung semua perkhidmatan tren tambahan ke Kandy, manakala 32 buah bas turut diarahkan berpatah balik kerana kekurangan ruang parkir. – AFP
