Jumaat, 21 November 2025
29.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Gara-gara makan snek dari peti sejuk pejabat, pekerja didenda 50,000 won

    SEOUL, 24 OKT – Seorang pekerja di Korea Selatan yang dituduh ‘mencuri’ snek bernilai kurang AS$1 mencetuskan perdebatan undang-undang selama lebih setahun.

    Pekerja tersebut merupakan pemandu penghantar barang yang berkhidmat secara subkontrak bagi sebuah syarikat logistik, didakwa mencuri sebiji Choco Pie iaitu snek popular di Korea Selatan dan sebiji kek kastard mini bernilai 1,050 won (sekitar AS$0.73) dari peti sejuk pejabat tahun lepas.

    Pihak pendakwa menganggap kesalahan itu kecil dan memfailkan tuduhan ringkas, namun pemandu berkenaan menegaskan dirinya tidak bersalah serta memohon perbicaraan rasmi di mahkamah.

    Menurut dokumen mahkamah, tertuduh mendakwa beberapa pemandu penghantar lain memberitahunya ‘snek di dalam peti sejuk boleh dimakan oleh sesiapa’.

    Bagaimanapun, syarikat berkenaan mene-gaskan pemandu tidak dibenarkan ‘membuka peti sejuk tanpa kebenaran’ melainkan mereka ditawarkan snek secara rasmi.

    Kotak-kotak Choco Pie dipamerkan di rak sebuah kedai serbaneka di Seoul kelmarin. – AFP

    Mahkamah kemudian mendapati pemandu itu bersalah dan menjatuhkan denda sebanyak 50,000 won, kira-kira 50 kali ganda nilai makanan yang dimakannya. Pekerja tersebut terus mengemukakan rayuan dan perbicaraan baharu telah bermula bulan lalu.

    Pakar undang-undang memberitahu media tempatan yuran guaman yang ditanggung oleh tertuduh dianggarkan mencecah 10,000 kali ganda daripada nilai snek yang dimakan.

    Kes itu mencetuskan kemarahan orang ramai di Korea Selatan, dengan kesatuan sekerja menyamakan nasib pemandu itu dengan watak Jean Valjean dalam novel klasik Perancis Les Miserables, yang dipenjarakan kerana mencuri roti untuk memberi makan adik-beradiknya.

    Isu tersebut turut dibangkitkan dalam sesi perbahasan di Parlimen minggu ini.

    Perbicaraan seterusnya dijadualkan berlangsung minggu depan dengan dua saksi pembelaan dijangka memberi keterangan.

    Ketua Pejabat Pendakwa Raya Daerah Jeonju, Shin Dae-kyeong, berkata dia akan meneliti kes itu ‘dalam batasan pertimbangan yang wajar’.

    Shin turut membandingkan kes itu dengan insiden pada 2020, apabila seorang juruwang kedai serbaneka didakwa kerana memakan sepaket kaki khinzir rebus bernilai 5,900 won, namun akhirnya dibebaskan. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda