ATHENS, 30 Mei – Panathinaikos telah dipotong lima mata dan didenda 41, 500 euro (AS$46,300) kelmarin oleh Liga Super Greece atas insiden melontarkan tin bir yang memaksa pertembungan playoff dihentikan awal bulan ini dengan PAOK Thessaloniki.
Liga juga menganugerahkan kemenangan 3-0 kepada PAOK, meskipun hakikatnya Panathinaikos ketika itu mendahului 1-0 di minit ke-54, apabila seorang penyokong melontarkan tin bir, yang terkena kepala jurulatih PAOK, Vladimir Ivic.
Pengadil perlawanan, Giorgos Kominos, menghentikan perlawanan selepas insiden itu yang terjadi ketika satu pertelagahan antara empat pemain, dua pemain dari setiap pasukan.
Liga telah membuat keputusan tiga mata akan ditolak dari kedudukan playoff ini dengan dua lagi mata akan dipotong dari permulaan musim depan.
Sebagai tambahan, Panathinaikos mesti bermain dua perlawanan tertutup di laman sendiri musim depan.
Pasukan Athens itu dijangka membuat rayuan atas keputusan itu, dengan harapan dapat mengurangkan hukuman mereka.
Playoff Liga Super antara Panathinaikos, PAOK, AEK Athens dan Panionios akan menentukan wakil kedua negara itu untuk layak ke Liga Juara-Juara dengan Olympiakos, dengan baki tiga tempat lagi disediakan bagi slot Liga Europa.
Pemotongan mata itu bermakna Panathinaikos, naib juara Piala Eropah 1971, berada enam mata di belakang pendahulu PAOK.
Jika Panathinaikos gagal dalam rayuan mereka, maka mereka akan gagal melayakkan diri ke Liga Juara-Juara kerana pusingan playoff berakhir Khamis ini. – AFP