Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 JUN – Warga Malaysia, Chieu Vun Thian, yang merupakan pengarah urusan Syarikat Voon Hua Hardware, hari ini dijatuhi hukuman penjara dua tahun enam bulan selepas didapati bersalah oleh Mahkamah Majistret atas dua pertuduhan kesalahan mengikut Seksyen 420 Kanun Hukuman Jenayah, Penggal 22.
Siasatan yang dijalankan oleh Biro Mencegah Rasuah (BMR) mendedahkan defendan telah bersubahat dengan Mohd Azam Zaki bin Haji Mohd Zain untuk menipu salah sebuah syarikat minyak dan gas tempatan, dengan memperdaya syarikat itu untuk mempercayai bahawa ia memerlukan pembelian 22 set Master Toolset Pronto 99663 termasuk Roller Cabinet daripada syarikat defendan dan dengan cara penipuan sedemikian, syarikat minyak dan gas itu didorong oleh ketidakjujuran untuk meluluskan dan membuat pembayaran berjumlah $154,000.
Defendan didapati bersalah selepas perbicaraan oleh Majistret Harnita Zelda Skinner. Semasa menjatuhkan hukuman, majistret mengambil kira berat kesalahan dan syarikat minyak dan gas itu telah mengalami kerugian kewangan akibat penipuan defendan. Majistret menyatakan tindakan defendan tidak boleh dipandang ringan dan kelakuan defendan memerlukan hukuman penjara.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Hajah Suriana binti Haji Radin. Peguam Balendran Balasingham mewakili defendan.