PARIT BUNTAR, 28 Dis – Hanya kerana najis anjing yang menjadi punca pertengkaran dan pergelutan kecil, seorang lelaki warga emas meninggal dunia di Taman Pekan Baru di sini malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira 12.30 tengah malam, Shee Hun Kong, 68, bertengkar dengan seorang lelaki berusia 52 tahun yang berang selepas haiwan peliharaan mangsa membuang najis di hadapan rumahnya. Ketua Polis Daerah Kerian Supt Omar Bakhtiar Yaacob berkata akibat pertengkaran itu mangsa ditampar di muka sebelum lelaki terbabit bertindak mencurahkan air paip kepada mangsa dan anjingnya.
“Mangsa kemudiannya rebah dan terbaring di hadapan rumah lelaki terbabit lalu sebelum ditemui penduduk yang kemudiannya memaklumkan kejadian itu kepada pihak polis kira-kira 1.30 pagi,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Omar Bakhtiar berkata mayat mangsa dibawa ke Hospital Parit Buntar dan hasil bedah siasat mendapati punca kematian adalah akibat kegagalan saluran darah jantung.
“Selain itu, terdapat luka kecil di bahagian kepala dan lutut kiri mangsa dipercayai kesan daripada terjatuh,” katanya. – Bernama