Pernah dimarahi warganet kerana hanya memakai anak tudung, penyanyi Ella mengakui dia berasa selesa membuat persembahan pentas dengan gaya tersebut.
Sumber mStar melaporkan, Ella atau Nor Zila Aminuddin, 59, bagaimanapun memberitahu, dia menggayakan anak tudung itu bersesuaian mengikut acara yang dihadiri.
“Sejujurnya saya memang suka sangat pakai anak tudung tetapi kadang-kadang perlu juga mengikut tempat dan acara.
“Sebelum ini ada warganet yang marah sangat dengan saya apabila mempersoalkan kenapa nak pakai anak tudung sahaja?
“Mungkin warganet pelik tetapi mereka tak tahu betapa selesanya pakai anak tudung sahaja,” katanya kepada mStar.

Tambahnya, meskipun hanya mengenakan anak tudung, gaya tersebut masih dikira sebagai menutup aurat.
“Bagi saya, pertama sekali gaya ini sangat ringkas dan masih menutup aurat.
“Tambah pula waktu saya buat persembahan memang senang untuk bergerak.
“Tapi saya masih menggayakan tudung seperti biasa, mengikut kesesuaian acara tertentu,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Ella kini melancarkan Galeri Rockqueen iaitu ruang pameran dengan gabungan dunia fesyen, muzik dan kandungan digital dalam satu ruang yang terletak di Denai Shah Alam.
Tidak seperti butik konvensional, Galeri Rockqueen menawarkan pengalaman membeli-belah yang unik dan santai menempatkan sudut untuk sesi siaran langsung TikTok, podcast dan rakaman kandungan eksklusif Ella. – Agensi