Sabtu, 22 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Gara-gara poskad enam dekad lalu, isteri cuba bunuh suami

    FLORIDA, 13 FEB – Seorang wanita berusia 71 tahun dari Florida didakwa menyerang dan cuba membunuh suaminya, gara-gara sekeping poskad yang diterimanya daripada seorang wanita di Turkiye yang pernah menjalin hubungan dengannya enam dekad lalu.

    Bertha Yalter dari Pantai Miami Utara berdepan tuduhan cubaan membunuh dan menyerang seseorang yang berusia 65 tahun ke atas, selepas didakwa menyerang suaminya dalam penuh amarah, lapor Oddity Central.

    Menurut laporan penangkapan, Yalter cuba menekap wajah suaminya yang sudah tua dengan bantal selepas mengetahui dia telah menerima poskad daripada seorang wanita di Turkiye yang dia pernah menjalin hubungan sekitar 60 tahun yang lalu.

    Serangan itu berlaku di kondominium pasangan itu di kawasan Eastern Shores, Pantai Miami Utara dan meninggalkan lelaki yang kelihatan lemah dengan lebam dan luka di kedua-dua lengan dan kawasan perutnya serta tanda gigitan berdarah.

    Menurut beberapa sumber, Bertha berang setelah suaminya mengaku membalas kad pos lamanya, tetapi tindakan itu tidak mewajarkan reaksi ganasnya.

    Peguam wanita itu memberitahu wartawan bahawa pasangan tua yang sudah hidup bersama selama 52 tahun itu bertengkar, akibatnya sangat dikesali, tetapi menambah tidak perlu menuduhnya dengan cubaan membunuh.

    Sebaliknya, seorang peguam negara menjelaskan perbuatan menekapnya menggunakan bantal memang percubaan membunuh kerana ‘itu akan melemaskan dan membunuhnya’.

    Suami Bertha Yalter kini sedang pulih daripada serangan itu dan berusaha untuk mengeluarkan isterinya dari penjara.

    Meskipun memberi kenyataan awalnya, dia kini menafikan telah ditekap dengan bantal dan mendakwa dia ‘baik-baik saja’. Polis berkata terdapat video kejadian dalam telefon bimbit yang akan digunakan sebagai bukti untuk menjelaskan apa yang berlaku. – Agensi

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda