Saturday, March 15, 2025
25.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Gara-gara tidak pulangkan telefon bimbit

    Oleh Fadley Faisal

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 OGOS – Seorang lelaki tempatan terpaksa meringkuk di penjara gara-gara tidak memulangkan telefon bimbit rakannya selepas meminjamnya dan kemudian menjual telefon tersebut sebagai pertukaran wang tunai dan dadah.

    Majistret Hajah Ervy Sufitriana binti Haji Abdul Rahman menjatuhi hukuman penjara dua bulan kepada Azman bin Awang Muhammad selepas dia mengaku bersalah atas tuduhan menyalahgunakan harta berkenaan.

    Timbalan Pendakwa Raya Aeny Zullizam memberitahu mahkamah bahawa pada 21 Ogos 2019, jam 3 petang, tertuduh yang merupakan seorang pekerja di sebuah gedung membeli-belah di Mulaut, bertemu rakannya di tempat kerja untuk meminjam telefon bimbit.

    Pemilik telefon bimbit tersebut memberitahu tertuduh untuk mengembalikannya selepas selesai sahaja menggunakan telefon itu. Selepas sahaja tamat waktu bekerja pada jam 6 petang, pemilik telefon berkenaan pergi untuk mencari tertuduh bagi mendapatkan semula telefonnya.

    Walau bagaimanapun, dia tidak dapat menemui tertuduh dan mendapati bahawa tertuduh telah pergi meninggalkan tempat kerja pada jam 4.48 petang.

    Pada keesokannya, pemilik telefon berkenaan masih belum dapat mene-mui tertuduh dan mengambil keputusan untuk melaporkan perkara tersebut kepada pihak polis sehingga membawa kepada penangkapan tertuduh.

    Penyiasatan polis mendapati bahawa tertuduh meminjam telefon pada hari itu untuk menghantar teks kepada teman wanitanya dan pulang daripada kerja pada jam 4.48 petang tanpa mengembalikan telefon berkenaan dan membuat perjalanan ke Bukit Beruang.

    Dalam perjalanannya, kereta tertuduh kehabisan minyak di Kampung Penanjong. Tertuduh kemudiannya meninggalkan keretanya dan menggunakan pengangkutan bas untuk berjumpa dengan rakannya di Kampung Sengkurong dan kemudian menjual telefon berkenaan kepada rakannya itu untuk mendapatkan wang tunai bagi membeli minyak keretanya. Tertuduh berjaya menjual telefon itu dengan pertukaran wang tunai seba-nyak $20 dan dua paket dadah.

    Juga seperti yang diakui kepada pihak polis, tertuduh berkata bahawa dia membeli minyak $10 untuk keretanya, dua bungkus nasi katok dan minuman, manakala bakinya digunakan untuk perjudian.

    Telefon pintar bernilai $248 itu gagal ditemukan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda