COLOMBO, 27 FEB – Syarikat penerbangan kebangsaan Sri Lanka hari ini menyalahkan seekor tikus kerana menyebabkan pesawat terkandas selama tiga hari, di mana ia telah mencetuskan huru-hara dan kebimbangan kepada pelabur untuk syarikat penerbangan yang mengalami krisis kewangan itu.
Tikus yang menyelinap masuk dan bersembunyi di dalam pesawat itu ditemui menikmati penerbangan Airbus A330 Sri Lankan Airlines dari bandar Lahore di Pakistan Khamis lalu, mencetuskan pencarian di dalam pesawat itu bagi memastikan ia tidak merosakkan komponen kritikal.
Seorang pegawai syarikat penerbangan berkata pesawat itu kini telah menyambung semula penerbangan, tetapi penangguhan itu telah menjejaskan keseluruhan jadual.
“Pesawat itu digantung selama tiga hari di Colombo,” kata seorang pegawai syarikat penerbangan, yang enggan namanya dinyatakan. “Pesawat itu tidak boleh diterbangkan selagi tikus itu belum dipastikan mati.’’
Syarikat penerbangan milik kerajaan itu, yang telah mencatat kerugian lebih daripada AS$1.8 bilion pada akhir Mac 2023, mempunyai tiga buah pesawat yang telah digantung selama lebih setahun daripada 23 pesawat lainnya. – AFP