Thursday, February 6, 2025
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Gara-gara tunjuk punggung

    BANGKOK, 30 Nov – Dua pelancong Amerika telah ditahan atas kesalahan ‘bersikap tidak senonoh’ selepas mengongsikan gambar mereka dengan menunjukkan punggung mereka di sebuah tokong terkenal di Bangkok, menurut kenyataan polis, kerana pemerintah junta itu bertindak keras atas mana-mana penghinaan ke atas Buddha.

    Pasangan itu, Joseph dan Travis Dasilva, kedua-duanya berusia 38 tahun memuatnaik beberapa gambar pada 24 November dengan menunjukkan punggung mereka di Wat Arun di Instagram.

    Ia masih belum pasti sama ada kedua-dua lelaki itu berkaitan.

    Tetapi perbuatan bodoh mereka mungkin menyebabkan mereka berdepan masalah yang serius selepas polis mahu mendakwa mereka di bawah undang-undang jenayah komputer draconian, satu kesalahan yang boleh membawa kepada hukuman penjara.

    Tokong tepi sungai itu, merupakan antara mercu tanda terkenal Bangkok, terdapat di dalam logo Autoriti Pelancongan Thailand.

    Gambar fail pada April 1996 menunjukkan pemandangan Tokong Wat Arun ketika matahari terbenam. Dua pelancong Amerika ditahan pihak berkuasa selepas didakwa menghina tokong terkenal itu. – AP

    Kedua-dua lelaki itu telah ditahan di lapangan terbang Bangkok lewat Selasa dan masing-masing dikenakan denda AS$150.

    “Mereka ditahan ketika mereka baru hendak meninggalkan Thailand,” kata seorang jurucakap Polis Imigresen, Kolonel Cherngron Rimpadee, dengan menambah bahawa mereka tersenarai dalam ‘senarai pemerhatian’ selepas gambar di media sosial media mereka itu mendapat perhatian pihak berkuasa.

    Kolonel Jarupat Thongkomol, dari stesen polis berhampiran tokong itu, berkata kedua-dua lelaki itu kini berdepan dengan dakwaan serius.

    “Kami kini menunggu kelulusan mahkamah untuk mendakwa mereka di bawah Akta Jenayah Komputer kerana memuat naik gambar tidak senonoh,” katanya.

    Akta itu membawa hukuman hingga lima tahun atas satu dakwaan dan ia kerap dikenakan ke atas penentang politik atau orang ramai yang telah menghina monarki Thailand. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda