Saturday, May 10, 2025
26.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Gara-gara video gurauan, influencer diusir dari Bali

    DENPASAR, INDONESIA, 30 APRIL – Seorang YouTuber dan influencer Rusia yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) diarahkan keluar dari pulau peranginan Bali di Indonesia hari ini selepas merakamkan diri mereka melanggar peraturan pemakaian penutup mulut dan hidung dengan mekap imaginasi.

    Klip video yang dihasilkan Josh Paler Lin dan Leia Se dan disiarkan dua minggu lalu menunjukkan kedua-dua mereka memperdaya pengawal pasar raya dengan topeng pembedahan bercat selepas mereka tidak dibenarkan masuk kerana Se tidak memakai penutup mulut dan hidung.

    “Adakah kamu perasan bahawa tidak ada sesiapa yang melihat kamu?” kata Lin. “Saya tidak percaya ia berjaya,” katanya dalam video yang nampaknya diambil dari akaun media sosialnya tetapi disiar semula di laman lain sejak itu.

    Lin adalah pemegang pasport Taiwan dengan saluran YouTubenya mengkhusus dalam video bersifat gurauan dan diikuti oleh 3.4 juta peminat. Se mempunyai lebih 25,000 pengikut Instagram.

    Walaupun warga asing yang kali pertama melanggar peraturan pemakaian penutup mulut dan hidung di Bali berdepan denda 1 juta rupiah dan dihantar pulang selepas kesalahan kedua, polis mahu mereka diusir dari pulau dengan serta-merta.

    Kedua-dua mereka telah meminta maaf menerusi video Lin di Instagram.

    “Saya mengeluarkan video ini untuk menghiburkan orang kerana saya ialah pencipta isi kandungan dan menjadi tugas saya untuk menghiburkan orang,” kata Lin. “Bagaimanapun, saya tidak sedar apa yang saya lakukan sebenarnya membawa banyak komen negatif,” katanya, sambil menasihatkan orang ramai supaya sentiasa memakai penutup mulut dan hidung. – AFP

    Influencer Rusia Leia Se berjalan dari pejabat imigresen di Jimbaran, Bali, Indonesia kelmarin. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda