Oleh Sim Y. H.
Gambar serahan JBP
BANDAR SERI BEGAWAN, 8 JUN – Sebuah garaj musnah manakala sebahagian rumah jenis dua tingkat dan sebuah kereta turut terlibat dalam kejadian kebakaran rumah di kawasan Kampung Pasai Ban 3, hari ini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP), di sini, dua buah jentera dari Balai Bomba Jerudong dan bantuan tenaga dan air dari Balai Bomba Pengkalan Batu serta Balai Bomba Beribi dengan seramai 19 anggota bomba dan penyelamat yang diketuai oleh Pemangku Timbalan Pegawai Balai Mohd Noor Erawan bin Haji Metussin telah dikerahkan ke tempat kejadian.

Apabila tiba di tempatan panggilan, anggota bomba dan penyelamat mendapati api besar membakar keseluruhan sebuah garaj iaitu merebak ke sebahagian rumah jenis dua tingkat yang mana kebakaran melibatkan bahagian atas dan water damage di bahagian bawah serta melibatkan sebuah kereta.
Anggota bomba dan penyelamat diarahkan memakai alat pernafasan dan bertindak memadam kebakaran dengan menggunakan tiga jet hos 64mm ke 38mm sebanyak 10 batang hos semasa operasi memadam di mana api dapat dikawal dari merebak dalam masa enam minit.
Kesemua penghuni rumah berkenaan sudah pun keluar sebelum kereta bomba sampai dan tidak ada korban jiwa dilaporkan dengan punca kebakaran serta anggaran kerugian masih dalam siasatan.
Hadir di lokasi berkenaan ialah Penolong Pengarah Operasi, Haji Nohi Irwan bin Haji Pawi; Pegawai Pemerintah Cawangan Operasi F Penguasa Kanan Bomba, Mohd Shahreeni bin Haji Mohd Yussof dan Timbalan Pegawai Pemerintah Cawangan Operasi F Penguasa Bomba, Janey Batrisya Koh Yen Yen.
