Thursday, July 17, 2025
28.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Garaj rumah jadi ‘resort’ anjing liar ketika hujan

    Kepada sidang pengarang dan para pembaca di ruangan ini, di sini saya sekadar ingin meluahkan perasaan dan meminta secebis nasihat.

    Kisahnya begini, ketika santai-santai, duduk dekat ruang tamu dengan menjamu secawan kopi hangat, memikirkan kehidupan susah dalam hidup berjiran di Kampung Rimba ani, satu masalah yang menyeksakan aku setiap kali hujan lebat, ialah garaj rumah yang menjadi ‘resort’ anjing liar.

    Pernah jua dalam beberapa minggu kebelakangan ani di mana hujan hari tu memang lebat, tidak semena-mena sekumpulan anjing liar datang mencari perlindungan.

    Dan malangnya, ‘resort’ selesa haiwan itu adalah garaj rumah aku.

    Aku bukanlah jenis nak jadi tuan kepada binatang, tapi setiap kali hujan turun, anjing-anjing tersebut datang laju, menyebabkan kecoh dekat garaj aku. Aku faham binatang-binatang ani cari tempat kering, tapi masalah makin teruk bila jumlah haiwan itu bertambah setiap kali hujan lebat.

    Foto Canva

    Pagi-pagi aku bangun, jejak kotoran, bekas kencing dan kadang-kadang sampah berselerak dekat garaj aku. Geram betul, terutama bila kena bersihkan kerosakan yang bukan salah aku. Tapi, dalam hati, aku rasa kasihan dekat haiwan-haiwan tersebut yang sekadar mencari perlindungan daripada hujan lebat.

    Aku dah cuba macam-macam cara untuk mengatasi masalah ani. Pasang pagar tambahan, bagi makanan dekat tempat lain supaya haiwan itu tak lama sangat dekat garaj aku, sampai bercakap dengan tuan anjing dekat kawasan ani. Tapi nampaknya, susah nak halang haiwan itu setiap kali hujan lebat.

    Mungkin dengan luah perasaan ini, adalah sesiapa boleh bagi saranan atau cadangan yang bernas. Aku sayang sangat Kampung Rimba yang indah permai dengan pemandangan menarik, namun kehadiran haiwan itu menimbulkan sedikit kekecewaan.

    Semoga satu hari nanti, masalah ni dapat selesai dan garaj aku tak jadi pilihan utama untuk haiwan itu cari perlindungan dari hujan.

    Halim bukan nama sebenar

    NASIHAT DANG MP

    Perkongsian yang diketengahkan oleh awda sangat membuka mata semua. Di sini Dang MP dapat memberi beberapa cadangan yang boleh diambil untuk mengatasi masalah tersebut:

    1. Pagar berkualiti tinggi: Pasang pagar yang tinggi dan kukuh di sekitar rumah untuk menghalang akses anjing-anjing liar. Pilih bahan yang tahan lasak dan sukar digali untuk keberkesanan yang lebih baik.

    2. Tempat perlindungan alternatif: Sediakan tempat perlindungan alternatif, seperti pondok atau bilik khas untuk haiwan-haiwan liar di lokasi yang lebih jauh dari rumah. Ini boleh mengalih perhatian haiwan itu dari garaj rumah awda.

    3. Program pemeliharaan haiwan: Berkongsi kebimbangan dengan pihak berkuasa tempatan atau pertubuhan kebajikan haiwan untuk memulakan program pemeliharaan haiwan. Mereka mungkin dapat membantu menangani dan menyediakan tempat perlindungan yang lebih baik bagi anjing-anjing liar tersebut.

    4. Bincang dengan jiran dan pemilik haiwan: Berjumpa dengan jiran-jiran dan pemilik haiwan lain di kawasan. Bincangkan masalah secara terbuka dan cari penyelesaian bersama. Mungkin terdapat idea-idea yang boleh dilaksanakan secara kolektif.

    5. Penyelidikan perundangan tempatan: Kenal pasti undang-undang tempatan berkaitan pemeliharaan haiwan dan alam sekitar. Dalam beberapa kes, undang-undang boleh memberikan landasan untuk menangani isu ini.

    Jika perlu, rundingkan dengan pihak berkuasa setempat untuk mendapatkan nasihat undang-undang.

    6. Pendekatan kemanusiaan: Pertimbangkan untuk bekerjasama dengan sukarelawan atau pertubuhan kebajikan haiwan untuk melaksanakan program penangkapan, pemulihan dan pelepasan bagi menguruskan populasi anjing liar secara kemanusiaan.

    7. Tingkatkan kesedaran masyarakat: Jalankan kempen kesedaran di kalangan penduduk kampung mengenai impak negatif anjing-anjing liar terhadap alam sekitar dan komuniti.

    Dengan kesedaran yang lebih tinggi, penduduk mungkin lebih bersedia untuk membantu menangani masalah ini.

    Ingatlah, penyelesaian yang terbaik mungkin melibatkan kombinasi beberapa cadangan di atas. Penting untuk bekerjasama dengan komuniti setempat dan pihak berkuasa untuk mencapai penyelesaian yang efektif dan adil bagi semua.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda