ATHENS, 28 Feb – Pengendali Olympiakos Oscar Garcia berkata dia mahu melupakan segera insiden minggu lalu yang menyebabkannya dimasukkan ke hospital dan mendorong pembatalan bagi perlawanan Liga Super Greek di PAOK Thessaloniki.
Pertemuan antara pendahulu Greek PAOK dan Olympiakos dibatalkan oleh pengadil sebelum perlawanan bermula setelah Garcia terpaksa dibawa ke hospital dengan kecederaan di muka setelah dilontar segulung kertas juruwang yang belum dibuka.
“Bagi saya, ia merupakan insiden yang ingin saya lupakan segera dan hanya menumpukan terhadap apa yang saya suka iaitu apa yang berlaku pada lingkungan empat garisan di padang dan terus membimbing pasukan saya untuk bermain dengan lebih baik setiap hari,” kata jurulatih Sepanyol 44 tahun itu di Twitter semalam.
Timbalan Menteri Sukan dan Kebudayaan Giorgos Vasiliadis Isnin lalu menggelar seorang penyokong PAOK, 27 tahun, yang ditahan setelah melontar objek sebagai ‘seorang dungu yang telah meletakkan pasukan pada kedudukan berisiko tewas dalam kejohanan itu.’
“Secara peribadi, saya tidak akan berasa gembira, tanpa menghiraukan hukuman,” kata Garcia, dengan PAOK yang berhadapan dengan sekatan termasuklah pembatalan perlawanan 3-0, pemotongan mata, denda berat dan bermain dalam beberapa perlawanan secara tertutup di dalam negara.

PAOK buat masa sekarang mendahului liga Greek sebanyak satu mata daripada AEK, dengan Olympiakos, pemenang kejuaraan setiap daripada tujuh musim lalu, kini berada enam mata di belakang tempat ketiga.
Garcia berkata kesan sampingan akibat insiden itu akan menjejaskan semua orang.
“Saya berharap ia tidak pernah berlaku kerana dalam kes ini tidak ada sesiapa pun yang menang, pada pendapat saya kami semua rugi, PAOK, Olympiakos, bola sepak Greek atau kami semua yang meminati sukan ini sebagai sukan yang kami sukai dan membuatkan orang ramai menyukainya,” tambah Garcia.
Dia menghabiskan malam Ahadnya di hospital Thessaloniki dan dibenarkan keluar keesokan pagi selepas didiagnosis pakar saraf mengalami kesensitifan sendi temporal kiri, pening, sakit leher dan loya. – AFP