Monday, December 23, 2024
28.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Garcia mara ke suku akhir

    TOKYO, 28 SEPT – Pemain nombor 10 dunia, Caroline Garcia dari Perancis melangkah ke suku akhir Terbuka Pan Pasifik di Tokyo, hari ini.

    Pemain berusia 29 tahun itu mengalahkan Anhelina Kalinina dari Ukraine, di ranking ke-28, 6-4, 6-3.

    “Keadaan di sini agak melampau. Sangat panas dan lembap,” kata Garcia selepas perlawanan ketika suhu mencecah 33 darjah Celsius.

    “Jadi saya sangat gembira dengan kemenangan itu”, katanya.

    “Pada pusingan seterusnya, saya akan berusaha bermain dengan gaya permainan saya, untuk menjadi agresif dan melakukan yang terbaik yang saya mampu,” tambahnya.

    Aksi Caroline Garcia semasa perlawanan separuh akhir di kejohanan tenis Terbuka Guadalajara di Guadalajara, Mexico pada 22 September. – AP

    Garcia ditewaskan minggu lalu oleh pemain Greece, Maria Sakkari di Terbuka Guadalajara.

    Pemain nombor enam dunia, Sakkari, yang menamatkan penantian empat tahunnya untuk kejuaraan WTA kedua di Guadalajara, berdepan pemain Jepun, Misaki Doi, hari ini.

    Pemain berusia 28 tahun itu tidak berjaya dalam enam pusingan akhir sejak kemenangan pertamanya di Rabat pada 2019.

    Ia termasuk perlawanan akhir Guadalajara tahun lalu, apabila dia tewas kepada Jessica Pegula dari Amerika, dan kalah kepada Coco Gauff pada final Terbuka Washington tahun ini.

    Pada Jumaat, juara Grand Slam empat kali, Iga Swiatek akan menentang Veronika Kudermetova, manakala pemain nombor empat dunia Pegula akan menentang Daria Kasatkina.

    Finalis Terbuka Australia, Elena Rybakina telah menarik diri atas sebab kesihatan.
    Kejohanan tersebut akan berakhir pada Ahad. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda