BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Nov – Gabungan Aliansi Rakyat Daerah Buruh Migran Indonesia (GARDA BMI) telah mengadakan Perlawanan Persahabatan Bola Sepak Liga BMI 2017 (BMI Super Cup 2017)di antara para pekerja Indonesia BMI (Buruh Migran Indonesia) 2017 baru-baru ini.
Perlawanan itu berlangsung di Padang dan Balapan, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas yang membariskan pemain-pemain yang terdiri daripada warga Indonesia yang bekerja di negara ini.
Seramai 16 pasukan telah menyertai Perlawanan Bola Sepak Liga BMI tersebut, yang dirasmikan oleh Duta Besar Republik Indonesia ke Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Nurul Qomar, selaku tetamu kehormat.
Turut hadir pada acara pembukan tersebut ialah Yang Dipertua GARDA BMI, Nurhayana binti Abdullah, Sekretaris Jeneral GARDA BMI Brunei Darusalam.
Pembukaan BMI Super Cup 2017 dimulakan oleh dua pasukan hebat, juara bertahan Lorena United FC menentang Rinjani FC.
Lorena United FC adalah juara bertahan BMI Super Cup bagi tahun 2015, dan 2016.
Perlawanan sengit itu berkesudahan dengan kedua-dua pasukan seri 0-0.
Antara pasukan-pasukan yang menyertai kejohanan ini adalah Kalbar FC, Garuda FC, Putra Lampung FC, Wiralodra FC, Monaerangga FC, Pandawa Koci FC, Rinjani FC, Lorena UTD FC, East Star FC, Pasundan Utd FC, Nusantara FC, Barsa FC, Matrix FC, Borneo FC, Seminor FC, Bws FC.
Antara tujuan kejohanan ini diadakan adalah untuk mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan warga Indonesia yang bekerja di negara ini, selain menjaga kesihatan dan mengekalkan kecergasan ke arah gaya hidup sihat.