MADRID, 31 JAN – Zinedine Zidane mengatakan dia ‘tidak berfikir’ Gareth Bale meninggalkan Real Madrid pada hari ini sebelum berakhirnya musim perpindahan Januari.
Bale hampir-hampir menyertai pasukan Liga Super Cina, Jiangsu Suning musim panas lepas dan akhbar Inggeris Times melaporkan pada hari ini pemain Wales itu sedang berunding untuk menyertai semula bekas kelabnya Tottenham.
Tetapi sumber di Spurs memberitahu AFP bahawa mereka tidak mengadakan sebarang perbincangan untuk menandatangani Bale bulan ini. Satu lagi sumber yang rapat dengan pemain itu menegaskan awal minggu ini bahawa ‘tiada apa yang berubah’ dan dia tidak akan meninggalkan Real Madrid pada Januari ini.
Ditanya mengenai kemungkinan Bale dijual, Zidane berkata dalam sidang akhbar: “Gareth ada bersama kami, saya tidak mahu memikirkan kemungkinan ini.”
“Bale tidak tersenarai dalam skuad untuk berdepan Real Zaragoza di Piala Copa del Rey pada Rabu, setelah menjalani satu sesi latihan penuh ekoran kecederaan buku lali.
Zidane enggan mengatakan sama ada dia akan kembali beraksi menentang Atletico Madrid di Santiago Bernabeu pada Sabtu ini. “Saya tidak akan memberitahu anda siapa yang akan bermain,” jelas Zidane.
“Semua pemain perlu bersedia.” Terdapat juga berita positif mengenai kecergasan Eden Hazard, yang telah pulih dari kecederaan kaki dan mungkin menentang Atletico.
“Kami akan lihat tetapi dia telah berlatih bersama kami sepanjang minggu,” kata Zidane. “Dia boleh dimasukkan esok tetapi kami tidak akan mengambil sebarang risiko.” Hazard belum bermain sejak kakinya patah di Paris Saint-Germain pada 26 November lalu. – AFP
