Thursday, April 17, 2025
29.8 C
Brunei
  • Rileks Jap

Berita Terkini

Garis panduan AI serlah usaha inklusif

Oleh Nurdiyanah R. – 

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 APRIL – Dalam membentuk masa depan digital yang inklusif bagi Negara Brunei Darussalam, pembangunan sistem dan alat kecerdasan buatan (AI) yang bertanggungjawab dan beretika adalah menjadi satu keperluan.

Sehubungan itu, Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-komunikasi Negara Brunei Darussalam (AITI), dengan kerjasama Kumpulan Kerja Tadbir Urus dan Etika AI telah menyediakan satu Garis Panduan Tadbir Urus dan Etika AI untuk Brunei Darussalam.

Perkara berkenaan dikongsikan berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan oleh AITI, hari ini, dengan menyatakan sebelum ini satu kertas konsultasi awam telah pun dikeluarkan pada Julai 2024 yang lalu, di mana maklum balas daripada wakil-wakil pihak kerajaan, industri, akademia, komuniti teknologi dan orang awam telah dinilai dalam penyediaan garis panduan itu.

Garis Panduan Tadbir Urus dan Etika AI itu mengetengahkan pendekatan yang berasaskan prinsip-prinsip dan amalan yang bertanggungjawab seperti Transparency and Explainability, Data Protection and Data Governance, Security and Safety, Robustness and Reliability, Fairness and Equity, Human Centricity dan Accountability and Integrity.

Garis panduan itu menyediakan panduan mengenai amalan dan perlindungan yang perlu dipraktikkan oleh organisasi yang membentuk, membangunkan, menggunakan dan memanfaatkan teknologi AI di Negara Brunei Darussalam. Dengan adanya garis panduan itu diharap akan dapat memacu inovasi serta menggalakkan penggunaan AI yang beretika dan bertanggungjawab.

Prinsip-prinsip yang terdapat dalam garis panduan itu adalah juga selaras dengan amalan serantau seperti yang terdapat di dalam Panduan ASEAN mengenai Tadbir Urus dan Etika AI agar pembangunan sistem AI boleh diguna pakai di peringkat serantau, serta juga meningkatkan kredibiliti organisasi dan keyakinan pengguna terhadap sistem dan alat AI yang digunakan.

Penyediaan garis panduan itu menunjukkan usaha berterusan dalam mewujudkan persekitaran digital yang selamat dan terjamin seiring dengan perjalanan kita menuju Negara Pintar.

Gambar Freepik
- Advertisment -

Berita Berkaitan

Disyorkan Untuk Awda